PRU15: Mampukah kerajaan gabungan yang stabil dibentuk? Saksikan Dialog Bi-Partisan malam ini...
Israr Khalid
September 8, 2022 15:38 MYT
September 8, 2022 15:38 MYT
KUALA LUMPUR: Bilakah tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? Itulah soalan yang kerap ditanya.
Namun, apa yang pasti, jawapannya sudah ada pada mereka yang terlibat langsung dalam peraduan kuasa ini. Mungkin. Semacam boleh dirasakan.
Ini kerana cakap-cakap mengenainya semakin hangat saban hari - dan ia terselah di pentas Dialog Bi-Partisan: Mengintai PRU15 yang akan ke udara pukul 8.30 malam ini di saluran 501 Astro AWANI.
Lima sosok kami tampilkan iaitu Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah; Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; ADUN Pasir Pinji merangkap AJK Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Chuan How; Ketua Pejuang Muda Malaysia, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin dan Ketua Eksekutif IDEAS Malaysia, Dr. Tricia Yeoh.
Arman ditanya tentang mengapa Barisan Nasional (BN) begitu mendesak untuk PRU15 segera diadakan, apakah ia ada kaitan dengan usaha menjayakan pengampunan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah?
Rafiq yang mewakili Perikatan Nasional (PN) disoal berkenaan pendirian mereka terhadap Muafakat Nasional antara Pas dengan UMNO, ketika Pas juga adalah rakan komponen Bersatu dalam perikatan itu.
Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi akan menjadi taruhan sebagai ‘poster boy’ Pakatan Harapan (PH)?
Kenapa pula PH tidak mahu PRU15 disegerakan sedangkan sebelum ini asyik menyerang BN-PN kerana mentadbir negara tanpa mandat sebenar rakyat? Soalan itu kami ajukan kepada Howard.
Sementara Dr. Abu Hafiz pula ditanya mengenai kesanggupan Pejuang untuk bekerjasama dengan parti mana seandainya tiada satu pihak yang memenangi majoriti kelak, di samping persoalan sama ada parti itu adalah parti Tun Dr. Mahathir Mohamad semata-mata.
Kehadiran Tricia pula berperanan sebagai pengimbang untuk melihat kewajaran tindakan yang dirasakan ideal untuk membentuk kepimpinan yang stabil ketika negara memerlukannya untuk menyelesaikan timbunan krisis yang memberat di bahu setiap warganegara.
Apapun, diskusi malam ini hangat, kecoh, namun terkawal.
Matlamatnya tetap satu, untuk menghadirkan buah fikiran yang boleh dijadikan pertimbangan untuk setiap rakyat yang menonton dalam memilih siapakah yang bakal meneraju Malaysia apabila tiba waktunya untuk membuat undi di hari itu nanti.
Dalam usaha kami memberikan pemahaman serta penjelasan mengenai persediaan menghadapi pesta demokrasi Malaysia, anda semua dipelawa untuk menonton Dialog Bi-Partisan: Mengintai PRU15 malam ini jam 8.30, tidak lain hanya di saluran 501 serta secara strim di www.astroawani.com.