PRU15: Majikan di Padang Serai diminta beri kebenaran pekerja keluar mengundi

Bernama
November 28, 2022 12:00 MYT
SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis. - Foto fail/Astro AWANI
KULIM: Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak merayu agar semua majikan, terutama dalam sektor swasta memberi kebenaran kepada pekerja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai, 7 Dis ini.
Beliau berkata perkara itu wajar dilakukan berikutan keputusan Kerajaan Kedah yang tidak dapat mempertimbangkan pemberian cuti khas pada hari pengundian yang diadakan pada hari bekerja.
"Kadang-kadang kalau pekerja hendak keluar ada masalah sikit, hendak keluar masa sejam amat singkat dan mengundi ambil masa. Jadi saya memohon kepada majikan untuk benarkan pekerja-pekerja untuk mengundi dan jangan potong gaji mereka.
"Mengundi ini adalah hak rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan, maknanya setiap warganegara perlu diberi peluang untuk mengundi," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Trak Ayuh Malaysia di Taman Selasih di sini, malam tadi.
Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kerajaan Kedah tidak dapat mempertimbangkan pemberian cuti khas pada hari pengundian PRU15 Padang Serai kerana ia hanya melibatkan satu kawasan Parlimen di negeri itu.
Kenyataan itu dibuat susulan cadangan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya kerajaan negeri mengumumkan cuti khas pada 7 Dis ini bagi memudahkan pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memandangkan pengundian diadakan pada hari Rabu.
Dalam pada itu, Mohamad Sofee turut merayu agar semua pengundi Parlimen Padang Serai dapat hadir awal ke pusat mengundi yang dibuka sehingga 6 petang dan tempoh itu katanya mencukupi untuk mereka menjalankan tanggungjawab.
"Kebanyakan pengundi yang saya berjumpa ini, mereka bekerja dalam kawasan Padang Serai atau paling kurang di Pulau Pinang. Jadi, mereka ada masa yang cukup untuk datang dan saya harap mereka dapat datang awal," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis, berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang disahkan bertanding M. Karupaiya, pada 16 Nov lepas.
-- BERNAMA
#PRU15 #Malaysia Memilih #Mohamad Sofee Razak #keluar mengundi
;