PRU15: [LAPORAN KHAS] 'Kami terputus hubungan dengan dunia luar sejak dahulu' - Orang Asli Berdut

Fareez Azman
November 9, 2022 19:56 MYT
Rata-rata masyarakat Orang Asli di Kampung Berdut hanya menggunakan telefon untuk bermain permainan dan mendengar muzik, ekoran tiada akses telekomunikasi. - Astro AWANI
KUALA KRAU: Pelbagai isu rakyat diangkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar pendedahannya diharapkan mendapat perhatian bakal pemimpin sesebuah kawasan, sekali gus nanti menggerakkan usaha dalam mencari penyelesaiannya.
Di Kuala Krau, Temerloh, Pahang, misalnya, Astro AWANI mendekati masyarakat Orang Asli Kampung Berdut yang berdepan dengan masalah tersendiri - mereka sudah sekian lama terputus hubungan dengan dunia luar kerana tiada akses telekomunikasi.
Lebih menyayat hati, kami diberitahu bahawa di situ pernah berlaku kes kecemasan yang berakhir dengan kematian, gara-gara tidak dapat membuat panggilan kecemasan.
Kru Astro AWANI menelusuri kawasan perkampungan Orang Asli yang terletak beberapa kilometer dari Felda Jenderak Selatan.
Perjalanannya tidak jauh, dihubungkan dengan jalan raya berturap sehingga ke kawasan kampung itu.
KEPUTUSAN PRU14 DI SINI
Hampir 30 minit menempuh laluan di tengah ladang kelapa sawit dan getah, akhirnya kami sampai ke lokasi yang dituju.
Kehidupan masyarakat Orang Asli di situ dilihat ada keperluan asas antaranya bekalan elektrik, air dan jalan raya. Usaha mendekatkan mereka kepada kemudahan asas mungkin sudah dimulakan, namun tidak menyeluruh. Yang pastinya, hal berkaitan telekomunikasi adalah aspek yang tercicir dari perhatian.
Ketiadaan akses telekomunikasi menjadi isu utama yang mereka dambakan penyelesaian oleh pihak yang akan diberi mandat 19 November depan.
Ada telefon tapi tiada 'line'
Bagi Yusof Aweng, 47, meskipun mereka mampu memiliki telefon bimbit, namun kegunaannya hanya untuk mendengar lagu semata-mata.
Jika ingin membuat panggilan telefon, mereka terpaksa mendaki bukit berhampiran untuk mendapatkan akses perkhidmatan.
"Sudah lama (tiada akses telekomunikasi) kira kita pun baru pakai handphone, baru kita tahu sini memang tiada line. Memang kita guna handphone untuk dengar lagu je lah.
Laporan Khas | 'Kami terputus hubungan komunikasi dunia luar sejak dulu'
"Bila ada kes kecemasan, yang pertama adalah kes bersalin, memang kita terpaksa panggil jururawat dari luar untuk masuk ke kampung ini.
"Ada juga kes kecemasan tengah malam, macam kematian. Walaupun jam 1 atau 2 pagi memang kami perlu bergegas keluar, cari line satu hal dan kemudian kami terpaksa pergi ke klinik terus lah," jelasnya.
Lebih merisaukan, sekiranya terjadi kes kecemasan yang boleh berakhir dengan kematian, gara-gara mereka tidak dapat membuat panggilan, atau mendapat bimbingan tentang rawatan awal kecemasan.
Meskipun dalam dunia digital, ketika rata-rata murid kini menggunakan komputer riba untuk menimba ilmu, namun kelebihan itu tidak pernah dirasai pelajar di kampung berkenaan.
"Memang terputus hubungan (telekomunikasi) nak tengok internet payah, berhubung dengan cikgu sekolah pun payah memang susah," kata Yusof lagi.
Daki bukit demi internet
Bagi Silen Hong, 23, setiap hari menjadi rutin harian untuk mendaki kawasan bukit berhampiran menaiki motor semata-mata untuk mendapatkan akses internet.
Meskipun terpaksa berbuat demikian, namun baginya itu sahaja cara yang ada agar tidak tercicir dari arus peredaran zaman dalam dunia digital.
"Handset ada, untuk main game, tengok Facebook, TikTok, ada line dekat bukit sana tu, dekat selekoh situ (sambil menunjukkan arah). Kami datang setiap hari duduk dekat situ, dekat kampung pun tak ada line, macam mana?
"Pergi ke bukit itu naik motor bersama kawan-kawan, di situ kuat line, jauh daripada sini. Kalau balik semula ke kampung tak ada line... boring macam tu la duduk. Buat apa ada handset pun kalau takda line," katanya.
Apa yang dimahukan oleh generasi muda di kampung itu jelas Silen, pembinaan pencawang telekomunikasi berhampiran agar memberi akses dunia digital terhadap masyarakat Orang Asli.
"Kalau boleh buat secepat mungkin, lama dah sini dari dulu tak ada line, ini pun handset baharu (tapi) line tak ada lagi.
"Terputuslah hubungan dengan dunia luar kiranya. Kalau ada mustahak nak call orang bandar susah, nak kena cari line lagi macam tu," katanya.
Meninggal dunia ketika bersalin
Lain pula cerita Akau Mintos, 60, apabila ketiadaan akses telekomunikasi pernah menyebabkan anak saudaranya meninggal dunia ketika bersalin beberapa tahun lalu.
Ia seolah-olah menjadi igauan ngeri buat penduduk di kampung itu.
"Macam dulu anak saudara saya di sana, dia nak bersalin jam 2 ke 3 pagi, terpaksa kita pergi report dekat Klinik Jenderak Selatan.
"Pukul 2 pagi dia sakit nak bersalin, dekat nak siang baru sampai. Bawa ke Hospital Kuala Krau dah disahkan meninggal dunia.
"Itulah kita nak minta pencawang kemudahan di sini, hospital ke klinik ke atau jabatan lain ke itulah kita nak," luahnya ketika ditemui penulis.
Mahukan pembangunan
Kesal dengan kejadian itu, masyarakat Orang Asli di Kampung Berdut, jelas Akau, mahukan agar kemudahan berkenaan dapat diwujudkan.
Walaupun tidak menafikan mereka ada menerima bantuan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), namun ujarnya masih banyak pembangunan dan perubahan perlu diwujudkan di kampung itu.
"Saya harap begitulah. Siapa yang memegang (kuasa) atau mencapai bak kata orang itu, (peluang membawa) kemajuan... di situlah masyarakat Orang Asli harapkan.
"Kita suruh kerajaan bantu masyarakat Orang Asli di sini, Kampung Berdut. Tentang kemajuan, kita nak seperti orang luar. Apa kemajuan daripada luar kita nak sama setaraf - baik dari sudut pendidikan, pembelajaran, bantuan.
"Kedua - ekonomi kita. Walaupun kerajaan bagi bajet berbilion tapi nak menyampai ke kitorang agak susah sikit," katanya lagi.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati lebih 300 Orang Asli tinggal di kampung berkenaan.
#PRU15 #Orang Asli #telekomunikasi #Calon PRU15
;