PRU15: Khairuddin berdepan pertembungan empat penjuru di Kuala Nerus
Nur Fazlizai Ali
November 5, 2022 13:11 MYT
November 5, 2022 13:11 MYT
KUALA NERUS: Parlimen Kuala Nerus menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), membabitkan antara lain, penyandang Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang kali ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
Bekas pemimpin Pas itu hadir di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus sekitar jam 9 pagi, diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Apli Yusoff.
Meskipun dalam keadaan hujan, ia tidak menghalang lebih 2,000 penyokong parti-parti yang mengambil bahagian berkumpul bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing.
Seawal jam 8.30 pagi, penyokong sudah mula memenuhi kawasan sekitar pekarangan pusat penamaan calon itu.
PRU kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pas, Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang, seperti disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Nerus Ahmad Azizi Zulkifli.
Beliau mengesahkan, pencalonan kesemua yang bertanding bagi Parlimen berkenaan diterima, tiada yang ditolak.
Khairuddin ditentang Datuk Dr Alias Razak (Pas), Datuk Seri Suhaimi Hashim (Amanah) dan Azaha Wahid (Pejuang).
Sementara itu, Parlimen Setiu juga menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Abdul Rahman Mat Yasin (BN), Shaharizukirnain (Pas), Wan Adnan Wan Ali (Pejuang) dan Mohamad Ngah (PH).