PRU15: Kesan positif kestabilan Johor pasca-PRN perlu diterjemah di peringkat nasional - Wee
Israr Khalid
November 9, 2022 07:00 MYT
November 9, 2022 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan pelaburan di Johor selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) awal tahun ini membuktikan parti itu berupaya memulihkan ekonomi negara dengan membentuk kestabilan.
Justeru, kata Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, perkara tersebut perlu diterjemahkan di peringkat nasional dengan memilih BN sebagai kerajaan untuk penggal akan datang.
Beliau berkata, jumlah Pelaburan Terus Domestik dan Antarabangsa (DDI dan FDI) di Johor melonjak hingga hampir 50 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara dalam masa 100 hari selepas BN mentadbir negeri itu.
"Ia satu iktibar yang perlu dilakukan untuk peringkat pusat kerana kestabilan di peringkat pusat itu lebih penting, kerana ini berkisar kepada dasar, undang-undang yang kita mahu lebih responsif, dan kita perlukan satu kerajaan yang cukup kukuh.
“Kalau selalu tukar Perdana Menteri, tukar kerajaan, saya rasa kita tak dapat mencapai satu kesinambungan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Johor mencatat RM60.9 juta bilion nilai pelaburan dari Januari hingga Jun tahun ini, kenaikan 822 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Wee yang juga calon BN P.148 Ayer Hitam mengakui, situasi PRN tidak boleh dibandingkan dengan PRU. Malah persepsi rakyat di peringkat nasional terhadap BN juga tidak sepertimana di Johor.
Maka, katanya, pentas kali ini menjadi ujian getir buat parti itu dan beliau menegaskan, mereka akan bekerja lebih keras, memperbaiki kelemahan serta memperkuat jentera untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.
“Kestabilan itu membawa kemakmuran yang memberi keyakinan kepada pelabur, sekali gus lebih banyak peluang dapat kita cipta," tambahnya,