PRU15: Kerjasama belia dan GPS menyatukan hala tuju perjuangan 'Sarawak First'
Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 22, 2022 19:30 MYT
Oktober 22, 2022 19:30 MYT
KUCHING: Kerjasama erat antara belia dan barisan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) penting demi menyatukan hala tuju perjuangan bersandarkan ‘Sarawak First’ dan rakyat secara holistik.
Sehubungan itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg meletakkan sepenuhnya kepercayaan dan harapan kepada para belia untuk menerajui pembangunan masa depan negeri itu.
Sebagai pengemudi pentadbiran, Abang Johari menjelaskan adalah lumrah kepimpinan untuk saling bertukar ganti dan golongan muda akan menyambung perjuangan yang diwariskan kepada mereka.
“Kita mahu semua bidang dipelopori belia dan mari bekerjasama untuk masa depan agar obor dan suara Sarawak tetap didengar Putrajaya, dalam Pilihan Raya Parlimen ini semoga anak-anak belia bersatu padu bersama kerajaan menekankan ‘Sarawak First’ untuk masa depan.
“Ini harapan kita kepada belia Sarawak yang mempunyai keupayaan untuk menaikkan jati diri mereka dan menjadi anak Sarawak yang gemilang diletak di laut menjadi pulau, diletak di darat menjadi gunung, inilah harapan para pemimpin kita dan rakyat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Belia Peringkat Sarawak di Tapak Perayaan Petra Jaya di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Pengerusi GPS itu mahu belia terlibat sama dalam dalam Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 untuk membangunkan sosio ekonomi rakyat pada tahap yang lebih tinggi.
“Dasar PCDS 2030 antara menekankan budaya inovasi dan budaya menterjemahkan data, melalui itu kita tekankan pembangunan bakat untuk Sarawak menuju ke arah ekonomi baharu berteraskan kepada teknologi yang memberi nilai tambah kepada sumber yang ada pada negeri Sarawak.
“Rang Undang-Undang yang akan diperkenalkan Sarawak untuk menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat adalah salah satu agenda untuk mengukuhkan kewangan negeri ini yang secara jelas adalah untuk kegunaan generasi masa depan,” ujarnya lanjut.