PRU15: Jika menang, GTA pastikan kerajaan pupuk inovasi, teknologi Metaverse
Nursyazwani Saiful Sham
November 17, 2022 09:05 MYT
November 17, 2022 09:05 MYT
KUALA LUMPUR: Sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan memastikan penubuhan kerajaan yang akan memupuk inovasi dan teknologi.
Ia termasuk menggunakan pendekatan teknologi baharu, Metaverse.
Walaupun ia merupakan satu bentuk teknologi baharu, namun Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, langkah itu perlu bermula sekarang.
"Sekiranya Pejuang diberi peluang memerintah, kami akan dirikan kerajaan yang akan memupuk inovasi dan teknologi. Metaverse adalah satu daripada teknologi yang harus diberi fokus.
"Walaupun kita berasa Metaverse masih terlalu baru namun kita perlu ambil langkah dan bermula dari sekarang. Kita akan tingkatkan pendidikan dan latihan dalam teknologi masa hadapan.
"Melalui pendidikan dan latihan yang betul kita akan pastikan rakyat akan terus kuasai teknologi baru. Kita mampu lakukan semua ini. Untuk mencapai ini Pejuang berhasrat menang dalam pilihan raya kali ini," tegasnya.
Metaverse, katanya, adalah asimilasi tiga dunia iaitu fizikal, digital dan maya, yang didefinisi sebagai generasi baharu Internet.
Metaverse bersifat masa sebenar, tiga dimensi dan interaktif, dan semakin banyak syarikat swasta mula bertapak di negara ini, dengan pelbagai urusan serta kegunaan yang diaplikasikan di Metaverse.
Beliau berkata demikian dalam ucapan khas beliau yang berlangsung di platform Metaverse yang dianjurkan Nanoverse.io baru-baru ini.
Pada masa sama Dr Mahathir menegaskan, rakyat Malaysia mempunyai hanya dua pilihan untuk memilih parti yang bakal mentadbir negara dalam PRU15 ini.
"Pilihan kita kita hanya dua. Parti yang bersih yang tidak terbabit dengan rasuah yang berintegriti. Dan parti yang bergelumang dengan salah guna kuasa, menyamun dan rasuah.
"Buatlah pilihan yang betul," ujarnya.
Sementara itu, calon Parlimen Langkawi itu turut menyatakan perkembangan teknologi juga akan mewujudkan peluang kerja dan peluang berniaga.
"Saya mewakili Gerakan Tanah Air ataupun GTA. Saya percaya semua di sini sudah tahu tentang GTA.
"Kami betanding dalam PRU15 ini dengan mengguna logo parti Pejuang. Pejuang bertujuan untuk dirikan kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab yang bersih dari rasuah dan salah guna kuasa.
"Pejuang ingin kembalikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya maju sebagai Harimau Asia," katanya.