PRU15: Jangan pinggirkan usahawan belia

Hilmi Malik
Oktober 26, 2022 09:30 MYT
Bagi Mohd Nor (kiri), Amir Asyraf, dan Muhammad Hairi, golongan muda bukan tidak berusaha akan tetapi kurangnya pendedahan dalam bidang perniagaan mengakibatkan mereka putus asa. -Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Usahawan muda di Johor mengharapkan agar kerajaan lebih ‘buka mata’ dan memberikan perhatian terhadap golongan itu dalam soal mengembangkan perniagaan.
Wujud sentimen kononnya orang muda dianggap malas dan tidak berusaha sedangkan ada yang telah berhempas pulas demi kelangsungan hidup.
Bagaimanapun mungkin ada yang berputus asa apabila usaha yang dibuat kurang mendapat perhatian dan panduan mengakibatkan anak muda kecundang di tengah jalan.
Bagi Mohd Nor Mohd Yusof yang menjalankan perniagaan ais krim berkata, selari dengan peredaran zaman ketika ini, anak muda semestinya memerlukan inisiatif serta idea segar daripada kerajaan untuk mereka terus ke depan.
“Saya sebagai anak muda dan usahawan muda memang tekankan soal inisiatif daripada kerajaan, bagaimana untuk bantu kami (usahawan muda) supaya terus kembangkan perniagaan termasuk sektor-sektor lain.
“Mungkin ada yang anggap golongan seperti kami tidak begitu di depan, tetapi kami generasi baharu dan zaman baru perlu ada panduan daripada kerajaan.
“Tidak semua yang berniaga mula dengan modal besar, ramai yang dari bawah tetapi kadang-kadang tiada pihak yang bimbing untuk mereka terus bertahan,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Suara yang sama dilontarkan Amir Asyraf Mian yang mengusahakan kedai bunga apabila mendakwa masih kurang pendedahan terhadap bidang perniagaan untuk golongan belia.
Baginya, kemahiran yang diperoleh ada kalanya tidak dapat digunakan sebaik mungkin apabila platform sepatutnya masih kelihatan samar.
“Kerajaan patutnya tumpukan anak muda yang keluarkan produk tempatan, anak muda yang baru nak mula berniaga kerana kadang-kadang mereka kurang ilmu dalam perniagaan.
“Program untuk perkasa usahawan muda perlu ada banyak lagi termasuk bantuan dari segi kewangan untuk bantu mereka mulakan perniagaan,” katanya lagi.
Tambahnya, polisi kerajaan juga ada kalanya merumitkan keadaan dan akhirnya mendorong mereka untuk tidak meneruskan hasrat untuk berniaga.
Dalam pada itu, Muhammad Hairi Murad mengakui ramai golongan belia sudah kelihatan bijak dan matang dalam soal berpolitik ketika ditanya mengenai persediaan untuk mengundi menjelang PRU15.
Sistem pendaftaran nama secara automatik kali ini mungkin bukan lagi alasan untuk anak muda untuk tidak keluar menunaikan tanggungjawab.
“Saya rasa dah ramai yang matang dan boleh buat pilihan dengan bijak, dah boleh tentukan mana yang bagus untuk masa depan negara.
“Anak muda pun memang dah muak dengan drama politik jadi kali ini turunlah buat pilihan masing-masing dan apa yang bagus juga untuk anak muda,” ujarnya lagi.
#Belia #usahawan muda #PRU15 #peluang perniagaan
;