PRU15: Isu urbanisasi tumpuan Syahredzan Johan di Bangi
Israr Khalid
November 5, 2022 13:34 MYT
November 5, 2022 13:34 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen P102 Bangi, Syahredzan Johan berhasrat menjadikan kawasan bandar itu serba cekap dan terkehadapan dari segi jasmani dan rohaninya.
Katanya, proses urbanisasi kawasan itu akan diberikan perhatian supaya ia membangun dengan sihat dan seimbang.
Antara perkara yang terangkum dalam urbanisasi itu adalah pengangkutan awam dan keterhubungannya, dari mula hingga akhir serata Bangi, serta kualiti kehidupan seluruh penduduknya.
“Di Bandar Baru Bangi ini rel MRT tak sampai, hanya setakat Kajang sahaja. Kemudian, isu 'first and last mile connectivity', termasuk juga isu tekanan hidup, mental dan kewangan, yang ada apabila seseorang itu tinggal di kawasan yang padat ini.
“Itulah isu yang saya akan bangkitkan di Parlimen di samping isu-isu hak rakyat yang memang sebelum ini saya vokal bangkitkan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau memberitahu, sekiranya dipilih, beliau bukanlah perwakilan yang secara terus dapat menyelesaikan isu-isu yang terlalu spesifik seperti kerosakan lampu isyarat dan sebagainya.
Namun, beliau akan menggunakan pengaruh dan kuasa yang ada untuk menggerakkan pihak berkepentingan supaya melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Saya rasa peranan Ahli Parlimen adalah lebih daripada itu, kita boleh jadi fasilitator untuk membawa suara rakyat kepada pihak berkuasa.”