PRU15: Ibu berpantang kendong bayi ke pusat mengundi
Adie Sufian Zulkefli
November 19, 2022 09:33 MYT
November 19, 2022 09:33 MYT
PADANG TERAP: Seorang guru yang masih berpantang masuk hari ke-40 sanggup membawa bayi lelakinya untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka, di sini hari ini.
Siti Najuwa Md Azmi, 32 tahun, dari Kampung Padang Kerasak tiba di pusat mengundi itu pada jam 8.30 pagi sambil mengendong anaknya ke pusat mengundi.
Menurutnya, dia membawa bersama anak ketiganya, Ammar Merican Muhamad Hamizi Merican, kerana bayi itu masih menyusu.
"Saya bersyukur kerana dipermudahkan urusan untuk mengundi kerana diberi laluan khas oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak beratur panjang.
"Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan saya bersama suami, Muhamad Hamizi Merican, akan terus pulang ke Pulau Pinang selepas mengundi," katanya.
Cuaca baik melancarkan proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di SK Naka hari ini apabila orang ramai datang awal dan mengikuti arahan perjalanan proses pengundian.