PRU15: Hoh Hee Lee mahu tangani masalah kesesakan jalan raya di Bangi
Israr Khalid
November 5, 2022 13:47 MYT
November 5, 2022 13:47 MYT
KUALA LUMPUR: Isu kesesakan jalan raya di Bangi adalah antara perkara pertama yang mahu dibawa ke Dewan Rakyat oleh calon Barisan Nasional (BN) P102 Bangi, Datuk Hoh Hee Lee sekiranya dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, kerajaan yang memerintah kelak perlu merencana jalan alternatif di kawasan itu yang kian padat, kesan pembangunan dan perkembangannya sebagai bandar universiti.
Sebagai kawasan Parlimen yang paling ramai penduduk, Bangi memerlukan sistem jaringan jalan raya yang baik untuk melancarkan pergerakan lebih 688,000 penduduknya.
“Ramai orang pergi kerja dari Semenyih menggunakan Jalan Bangi Lama untuk menuju ke Putrajaya. Mereka juga melalui Sungai Ramal. Itu sebab dua jalan ini jadi sesak.
“Jadi, bagaimana kita nak tangani? Dengan mencari satu jalan alternatif daripada lebuh raya LEKAS Semenyih ke Putrajaya, cara ini kita dapat menyuraikan trafik di sini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Ujar beliau, ada banyak isu di Bangi yang perlu diselesaikan secara holistik dan itu yang akan dilaksana Hee Lee sekiranya beliau dipilih sebagai perwakilan kawasan itu nanti.