PRU15: Hakisan pantai, tunggu jalan, rumah runtuh lagi baru nak selesaikan? - Penduduk Telipot

Hafizi Rosli
November 12, 2022 09:20 MYT
Jarak antara pantai dan jalan yang menghubungkan Pengkalan Maras dan Mengabang Telipot kini hanya lima meter dan berisiko untuk runtuh sekiranya berlaku ombak besar. - Foto/AstroAWANI
KUALA NERUS: Penduduk di Mengabang Telipot merayu agar pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah hakisan pantai yang semakin memburuk sejak bertahun lalu.
Dakwa penduduk berkenaan, sebelum ini kawasan itu menyaksikan beberapa siri runtuhan tebing yang berpunca dari arus ombak kuat sehingga menyebabkan jalan antara Kampung Maras dan Mengabang Telipot terputus hubungan.
Tinjauan Astro AWANI mendapati jarak antara jalan dan pantai kini hanya lima meter sahaja berbanding sebelum ini, di mana penduduk mendakwa jaraknya mencecah 80 meter.
Tambahan pula, belasan rumah kini terpaksa dipindahkan kerana berisiko dipukul ombak akibat pantai yang semakin menghakis.
Jelas salah seorang penduduk, Mohd Afandi Ibrahim, beberapa tahun lalu, jarak rumah dan pantai adalah jauh, namun selepas berlaku arus ombak kuat yang menyebabkan hakisan pantai, rumahnya turut terkesan.
“Saya terpaksa dipindahkan ke kawasan baharu kerana rumah yang saya diami sekeluarga ini runtuh akibat dipukul ombak.
“Saya mahu pihak berkuasa ambil tindakan segera selesaikan isu hakisan ini, kerana risau banyak lagi rumah akan terkesan sama seperti saya,” katanya kepada Astro AWANI.
Bukan sahaja perumahan terkesan, sebuah surau juga dilaporkan roboh selepas pantai semakin menghakis menyebabkan ia mudah dipukul ombak.
“Dahulu ada surau di sini, namun selepas air laut semakin dekat berpunca daripada hakisan pantai, batu asas surau itu tak berapa kukuh menyebabkan surau itu runtuh.
“Arus ombak yang kuat ini sebabkan banyak benteng runtuh dan kami perhatikan ia bermula sejak beberapa tahun lalu, selepas penambakan di sekitar lapangan terbang,” jelas seorang lagi penduduk, Mohd Anuar Jusoh.
Kerisauan mereka semakin terasa lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh yang menyaksikan angin kuat serta ombak besar.
Selain itu, Astro AWANI turut mendapatkan pandangan pakar berhubung dakwaan penduduk, sama ada ombak kuat yang menyebabkan hakisan pantai ini berpunca dari aktiviti penambakan laut.
Jelas Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Effi Helmy Ariffin, arus ombak yang kuat ini berpunca daripada hasil penambakan di kawasan lain.
“Apabila satu aktiviti penambakan dibuat di kawasan lain, ia beri impak kepada kawasan sekitar. Kita boleh buat langkah mitigasi segera seperti buat benteng batu, namun daya dan arus air itu akan berpindah ke kawasan lain.
“Jadi, kawasan lain akan terima impak seperti apa berlaku di Mengabang Telipot ini kerana arus ombak itu akan berpindah. Sekiranya di kawasan ini tidak diambil langkah solusi yang baik, maka kawasan lain turut bakal terjejas,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Bagi Effi, sebagai solusi, pembinaan pemecah ombak di tengah laut adalah langkah terbaik dan bukannya membina benteng ombak seperti ketika ini.
Jelasnya, ini kerana dengan pembinaan benteng, ia akan menyebabkan arus ombak berpindah dan seterusnya menjejaskan pesisir pantai lain dengan isu hakisan pantai.
#hakisan pantai #Mengabang Telipot #Kampung Maras #PRU15