PRU15: GTA Pulau Pinang akui UMNO pesaing sengit
Umavathi Ramayah
November 3, 2022 04:18 MYT
November 3, 2022 04:18 MYT
GEORGE TOWN: Parti Gerakan Tanahair (GTA) Pulau Pinang mengakui bakal berdepan cabaran getir dalam menyaingi UMNO kerana mempunyai strategi yang hampir sama dengan parti itu.
Meskipun bukan mudah, Pengerusi GTA Pulau Pinang, Muhammad Farouk Abdullah berkata, GTA akan terus memberi saingan sengit kepada UMNO yang diakuinya mempunyai sokongan besar dalam kalangan pengundi Melayu.
"Kita banyak memfokuskan kepada kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang tinggi, kecuali Bagan.
"Kita meletakkan Muhammad Hafiz Mohamad Abu Bakar di Bagan berdasarkan pengalaman, dan dia anak jati kawasan itu, selain fasih berbahasa Mandarin," katanya pada sidang media pengumuman lima calon GTA Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini, semalam.
Muhammad Farouk, juga Pengerusi Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) Pulau Pinang, turut menjelaskan kepada orang ramai supaya tidak salah tafsir GTA sebagai sebuah gabungan rasis.
Sebaliknya, kata beliau, parti itu menumpukan kepada isu-isu berkaitan masalah rasuah, penyelewengan takdir urus dan ketirisan yang berlaku dalam negara.
Selain Muhammad Hafiz, GTA menampilkan Hamidi Abu Hasan sebagai calon kerusi Parlimen Kepala Batas, Abdul Halim Sher Jung (Tasek Gelugor), Mohd Nasir Othman (Permatang Pauh) dan Fazli Mohammad (Balik Pulau).
Dalam pada itu, Mohammed Hafiz berkata, dia yakin meraih sokongan pengundi pelbagai kaum kerana selain anak jati Bagan, dia fasih empat bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Tamil.
Mohammed Hafiz bakal berdepan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang sebelum ini menang selesa dengan majoriti 43,902 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Terdahulu, GTA dilaporkan akan bertanding di lebih 121 kerusi Parlimen pada PRU15.
GTA turut membuat ketetapan untuk menggunakan lambang dan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana ia masih belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).