PRU15: Elak kerja pengorekan tanah pada hari pengundian - TNB
Bernama
November 17, 2022 14:48 MYT
November 17, 2022 14:48 MYT
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meminta kerjasama semua pihak yang berkenaan untuk mengelakkan sebarang kerja pengorekan tanah pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini bagi menghindari kemungkinan gangguan elektrik akibat kerosakan kabel.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata TNB juga menangguhkan kerja-kerja sedemikian mulai semalam di samping memberikan tumpuan bagi memastikan kestabilan bekalan sepanjang PRU 15, khususnya pada malam keputusan pilihan raya.
"Nasihat kami agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dahulu dan jika tidak dapat dielakkan, patuhilah semua prosedur dan tatacara yang ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengurangkan risiko gangguan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Nazmy berkata sehingga kini pihaknya telah membuat persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di kesemua 6,623 pusat mengundi dan 165 pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh Semenanjung dalam keadaan baik pada hari pengundian.
Beliau berkata TNB turut melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi berkenaan sentiasa terjamin.
"Kami juga telah menempatkan pasukan-pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi-lokasi penting PRU15," katanya.
Menurutnya TNB juga telah mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat mengundi dan penjumlahan undi.
-- BERNAMA