PRU15: DAP Sarawak setuju tubuh jawatankuasa rundingan bincang penyatuan pembangkang
Astro Awani
April 5, 2022 16:18 MYT
April 5, 2022 16:18 MYT
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa rundingan untuk memulakan proses perbincangan kerjasama semua parti pembangkang di Sarawak.
Jawatankuasa tersebut akan mengetuai proses penyatuan parti pembangkang bersama DAP Sarawak dengan agenda untuk menumbangkan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
DAP Sarawak dalam satu kenyataan pada Selasa mendedahkan jawatankuasa tersebut akan diketuai Timbalan Pengerusi Alice Lau, Setiausaha Alan Ling, dan Bendahari Chiew Chiu Sing.
“DAP Sarawak akan mengemukakan keputusan yang dibuat hari ini kepada kepimpinan Pakatan Harapan Sarawak untuk dibahaskan.
“Kita sedar kepentingan PRU yang akan datang untuk memulakan semula negara ini daripada terus jatuh ke laluan yang tidak kompeten, nilai keagaamaan yang ekstrem, dan memberi semula kuasa tertinggi pentadbiran kepada golongan kleptokrat,” katanya.
Tambahnya, selain ketidakcekapan kerajaan dalam mengendalikan COVID19, ekonomi dalam masa yang sama terus sengsara, inflasi berlaku di mana harga keperluan asas terus meningkat dalam tempoh dua tahun yang lalu.
“Hasilnya rakyat terus terkesan dan hidup dalam kesangsaraan akibat kos sara hidup yang meningkat daripada pengurusan yang lemah oleh kerajaan kini.
“Kerajaan juga tidak mempunyai pelan pemulihan COVID-19 yang jelas, dan dengan ini ramai rakyat sudah putus harapan terhadap kerajaan,” jelasnya.
Justeru DAP Sarawak menegaskan pilihan raya ini adalah situasi yang penting untuk negara dan parti itu semestinya sudah terbuka untuk sebarang kerjasama yang positif.
“Kerjasama ini akan mengembalikan asas kepasa kerajaan yang baik, anti-rasuah, dan polisi ekonomi yang progresif untuk kebaikan rakyat selaras dengan perjuangan yang berterusan untuk menegakkan hak istimewa Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita mesti cuba sehabis baik untuk menyelamatkan negara ini,” katanya.
Keputusan penubuhan Jawatankuasa Perundingan ini dibuat selepas mesyuarat DAP Sarawak di Sibu pada Selasa.
Turut hadir semasa mesyuarat antaranya Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Ketua Pemuda DAP Sarawak, Kelvin Yii, dan ADUN Pending, Violet Yong.