PRU15: Bung Moktar gesa MOT campur tangan isu harga tiket mahal ke Sabah dan Sarawak
Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 26, 2022 11:12 MYT
Oktober 26, 2022 11:12 MYT
KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan digesa campur tangan dalam menyelesaikan isu peningkatan harga penerbangan ke Sabah dan Sarawak hingga menyukarkan para pengundi dari kedua-dua negeri itu pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, situasi itu menyukarkan rakyat terutama golongan mahasiswa untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
"Kadar tambang pergi balik syarikat penerbangan khususnya di antara Sabah dengan Semenanjung menunjukkan semakin tinggi menjelang dua tiga hari sebelum hari mengundi pada 19 November depan.
"Bukan itu saja, kadar tambang jika balik sebelum akhir bulan ini dan kembali selepas hari mengundi juga adalah tinggi, malah ada yang mencecah hingga RM800.
"Jumlah itu sangat besar bagi golongan perantau, khususnya pelajar dan sudah pasti melemahkan semangat mereka untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November depan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan keluhan Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah terhadap isu tambang yang didakwa menjadi halangan terbesar kepada mahasiswa untuk pulang ke kampung halaman walaupun diberi cuti pelepasan untuk mengundi pada PRU15 bermula 17 hingga 21 November depan.
Pada masa sama, Bung Moktar turut mengulangi cadangan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar memasukkan golongan pelajar dan pengundi muda ke dalam kategori pengundi awal atau pengundi pos bagi memudahkan kelompok tersebut menunaikan tanggungjawab tanpa perlu terbeban dengan kos pengangkutan yang tinggi setiap kali pilihan raya diadakan.
"SPR perlu mencari jalan mempermudah golongan pelajar atau pengundi muda (Undi18) untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan antara kaedah terbaik ialah memasukkan mereka sebagai pengundi awal atau pengundi pos", tambahnya.