PRU15: BN Terengganu sedia hadapi banjir - Ahmad Said

Bernama
November 10, 2022 20:03 MYT
Ahmad ketika ditemui media selepas meninjau Pasar Borong Dusun Nyior di Chukai semalam. --fotoBERNAMA
CHUKAI: Barisan Nasional (BN) Terengganu sentiasa bersedia dan bersiap siaga untuk keluar membantu rakyat sekiranya bencana banjir melanda negeri ini.
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu sudah menjadi rutin bagi UMNO dan BN untuk tampil ke hadapan membantu rakyat setiap kali mereka berada dalam kesusahan.
"Ia sudah menjadi rutin kepada kita, setiap tahun UMNO dan BN pasti bantu (mangsa banjir). Setiap tahun memang banjir akan berlaku, ia bukan satu masalah kerana ia sudah menjadi tugas kita (BN). Maka tiada isu pun sebenarnya mengenai perkara itu.
"Kita jentera paling besar membantu (mangsa banjir). Saya dulu pernah bawa bot sendiri, keluar bantu orang banjir... kita dari dahulu juga ada skuad khas kita, yang masak makanan, beri bantuan dan sebagainya dan kita juga ada prosedur operasi standard (SOP) tersendiri sebagai persiapan hadapi banjir," katanya.
Beliau yang juga calon BN Parlimen Kemaman bagi Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) berkata demikian selepas menyantuni dan beramah mesra dengan komuniti di Pasar Tani Kekal Kampung Dusun Nyior dekat sini, pada Khamis.
BACA: Notis siap siaga kemungkinan banjir di Pantai Timur pada Jumaat - JPS
Ditanya mengenai kemungkinan banjir pada hari mengundi 19 November nanti, Ahmad berkata kerajaan dan pihak berkaitan pasti mempunyai alternatif bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan (tahap kuning) di Terengganu yang dijangka sehingga hari ini.
-- BERNAMA
#BN Terengganu #banjir #PRU15 #Ahmad Said