PRU15: Biar bakal dicabar Anwar, Ahmad Faizal tekad pertahan Tambun

Bernama
Oktober 21, 2022 19:21 MYT
Ahmad Faizal berkata, keyakinan itu disandarkan atas sokongan diterima rakan-rakan sukarelawan serta pendokong PN Tambun. - Gambar fail
IPOH: Biarpun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mahu bertanding di kerusi Parlimen Tambun malam tadi, penyandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tekad untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata keyakinan itu disandarkan atas sokongan diterima rakan-rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional (PN) Tambun.
"Maka, kami beranggapan adalah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan untuk terus kekal berkhidmat di halaman kami sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.
PRU15 | Anwar umum bertanding di Parlimen Tambun
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata atas prinsip dan semangat demokrasi, beliau turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.
"Mudah-mudahan, kempen pada pilihanraya kali ini berjalan dengan telus dan adil, sekali gus memberi manfaat buat para pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Semalam Anwar mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.
Jika hal tersebut menjadi realiti, Presiden PKR itu akan meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya ketika ini, selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018 yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.
-- BERNAMA
#PRU15 #Tambun #Anwar Ibrahim #Ahmad Faizal Azumu
;