PRU15: Belum ada laporan polis dakwaan Anwar tentera dibayar undi awal - Hamzah
Astro Awani
November 13, 2022 19:56 MYT
November 13, 2022 19:56 MYT
KUALA LUMPUR: Sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota tentera dibayar RM300 untuk undi awal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan, sekiranya terdapat laporan dibuat, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.
"Bila ada laporan polis, kami akan membenarkan PDRM menjalankan siasatan. Buat masa ini kami tidak menerima sebarang laporan polis untuk isu tersebut," katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, Muar.
Pada Jumaat, media melaporkan Anwar mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera dan Presiden PKR itu mendakwa anggota tentera berkenaan dibayar, selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.
Berucap di majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu, Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH untuk kawasan Parlimen Tambun di Perak berkata, dia menggesa SPR segera bertindak menyiasat kejadian tersebut.