PRU15: Bantu kempen calon BN di Pasir Salak, seorang ahli Bersatu gugur keahlian
Bernama
November 8, 2022 22:58 MYT
November 8, 2022 22:58 MYT
PASIR SALAK: Keanggotaan seorang ahli parti Bersatu, Ramelle Ashram Ramli yang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gugur secara automatik, kata Setiausaha Bersatu Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Beliau berkata tindakan membantu kempen parti lawan berkenaan dianggap melanggar disiplin serta memberi imej tidak baik kepada parti.
"Kita terima laporan beliau membantu parti lain dan mendapati Ramelle terlibat, maka tindakan tatatertib diambil ke atasnya serta merta," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Ramelle dikatakan berkempen untuk calon BN-UMNO Parlimen Pasir Salak Khairul Azwan Harun pada PRU15 ini, selepas penyandang bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dipilih oleh pucuk pimpinan UMNO untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu yang menjadi miliknya itu sejak 2008.
Pertembungan di parlimen Pasir Salak melibatkan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azwan, calon Pakatan Harapan Nik Omar Nik Abdul Aziz (PH-PKR), Jamaluddin Yahya (PN-PAS) dan Zairol Hizam Zakaria (GTA-Putra).
-- BERNAMA