PRU15: "Bajet 2023 cukup cantik, takkan nak biar orang lain ambil alih?" - PM

Firdaus Azil
Oktober 18, 2022 11:36 MYT
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesemua peruntukan dalam Bajet 2023 hanya akan dapat dinikmati sekiranya ia dibentangkan semula dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) di bawah Bajet 2023 sebanyak RM95 bilion merangkumi 7,165 projek pembangunan, merupakan tertinggi dalam sejarah negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Namun, Perdana Menteri berkata, kesemua itu hanya akan dapat dinikmati sekiranya Bajet 2023 dibentangkan semula dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan yang beliau terajui hari ini perlu dipilih kembali untuk mentadbir negara bagi penggal seterusnya.
"Bajet ini ... untuk (proses) draf dan perbincangan sebelum pembentangan itu, itu adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kita yang come out dengan bajet begini cantik.
"Tetapi kalau orang lain ambil alih, tak tahu apa dia nak buat. Tetapi kalau saya diberi peluang untuk membentuk kerajaan selepas ini, Insya-Allah. bajet terbesar dalam sejarah ini akan dibentangkan semula dan diluluskan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Kontraktor Bumiputera 2.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, pihak pembangkang dilihat sengaja membuat tohmahan bahawa peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion itu, hanya akan menguntungkan taikun atau pihak konglomerat semata-mata.
Ismail Sabri berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana peruntukan tersebut turut memberi limpahan ekonomi kepada kontraktor kelas rendah seperti G1 hingga G4.
"Jadi inilah saya nak sebutkan, yang pembangkang telah keluarkan video kata peruntukan pembangunan RM95 bilion itu akan menguntungkan taikun atau konglomerat besar saja.
"Dia lupa bahawa projek pembangunan kita yang luluskan bukan saja projek mega, iaitu sambungan dan projek baharu seperti Pan Bornoe dan sebagainya, adalah (juga) untuk kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak.
"Kita tahu jalan di Sabah dan Sarawak yang perlu kita bangunkan dengan infrastruktur yanbg lebih moden, bagi rakyat kita di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) juga perlu diteruskan kerana ia akan memberi faedah kepada rakyat dan kontraktor kecil, kerana peruntukan itu juga akan melibatkan pembangunan jalan raya, infrastruktur luar bandar, utiliti asas seperti elektrik dan air, dan sebagainya.
Berucap lanjut, Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk golongan kontraktor seperti peruntukan sebanyak RM500 juta khusus kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.
Antaranya, jelas Perdana Menteri, bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.
"Bagi menyokong kontraktor Bumiputera, kerajaan juga akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan dana sebanyak RM20 juta.
"Sebanyak RM50 juta nilai projek-projek kecil akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4 menerusi inisiatif Kontraktornita bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita Bumiputera dalam perolehan kerajaan," katanya lagi.
Namun Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan, kesemua itu akan hanya dinikmati sekiranya bajet 2023 dibentangkan kembali dan diluluskan selepas PRU15.
#Bajet 2023 #Barisan Nasional #PRU15 #ismail sabri yaakob
;