PRU15: Bagai musim perayaan, Terminal Bas Larkin Sentral sesak ramai balik kampung
Bernama
November 18, 2022 12:57 MYT
November 18, 2022 12:57 MYT
JOHOR BAHRU: Bagaikan musim perayaan. Itu keadaan di Terminal Bas Larkin Sentral di sini, yang sesak dengan orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi esok.
Kebanyakannya meluahkan rasa lega apabila kerajaan mengumumkan hari ini dan esok sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Di Johor, kerajaan negeri mengumumkan Ahad ini sebagai cuti gantian memandangkan Jumaat dan Sabtu adalah cuti hujung minggu.
Bagi Sabri Ismail, 28, pemberian cuti berkenaan dapat memudahkan rakyat untuk merancang perjalanan berikutan kebanyakan tiket bas habis dijual selain berpeluang untuk bercuti bersama keluarga.
"Memudahkan rakyat untuk rancang perjalanan. Jadi mereka boleh pilih hendak balik menggunakan pengangkutan apa. Macam saya, walaupun berasal dari Perlis tetapi sebab tiket banyak habis, saya kena turun di Butterworth dan naik kereta api ke Perlis," katanya ketika ditemui di Terminal Bas Larkin di sini hari ini.
Beliau yang akan mengundi di Langkawi turut berharap agar kerajaan baharu yang bakal memerintah amanah dan bertanggungjawab sekiranya mendapat mandat.
"Mereka kena tunaikan janji-janji dalam manifesto. Itu antara perkara yang penting dilakukan. Selain itu, kestabilan ekonomi memandangkan harga barang tidak menentu," katanya.
L. Sumathi, 50, pula berkata dia bernasib baik kerana membeli tiket bas secara dalam talian untuk pulang ke Ipoh hari ini.
"Saya boleh jangka tiket akan banyak habis. Jadi saya cepat-cepat tempah tiket satu minggu lebih awal, kalau tidak saya tidak dapat pulang ke Ipoh," katanya yang bekerja di Singapura.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata kerajaan baharu perlu memberikan tumpuan kepada kemajuan negara dan prihatin kepada rakyat.
-- BERNAMA