PRU15: Apa petani muda mahukan?

Rahimah Abdullah
November 8, 2022 11:30 MYT
Rofi Azmi memilih untuk tinggal dan mencari rezeki di kampungnya di Tanjong Karang. - Astro AWANI
SEJUMLAH 51.6 peratus daripada pengundi di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah orang muda yang berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Kajian Perspektif Geografi dan GIS, Universiti Malaya (UM) itu menunjukkan isu peluang pekerjaan adalah antara yang ditekankan kumpulan umur itu.
Tanjong Karang contohnya, adalah kawasan Parlimen yang sebahagian anak mudanya mengusahakan perniagaan, pertanian dan perikanan.
Bagi seorang anak muda yang ditemui Astro AWANI, Rofi Azmi, 35, dia memilih untuk tinggal dan mencari rezeki di kampungnya di Tanjong Karang.
Selepas sekian lama bekerja di bandar besar, Rofi ambil keputusan untuk mengusahakan sawah bendang.
Kalau sebelum ini, dia makan gaji, kini dia terpaksa berusaha lagi untuk mengisi perut dia dan keluarga.
"Cabaran memang banyak, kos tinggi, dengan racun semua. Banyak dugaan buat padi, kadang jadi tak jadi. Dari segi bantuan, selalunya bagi baja dengan racun. Lain sendiri," katanya kepada Astro AWANI.
Sebagai anak muda yang menjadi nadi kepada sumber makanan negara, Rofi mahu pihak berwajib ambil tahu dan bantu anak muda dalam bidang pertanian.
Antara cabaran dalam mengusahakan sawah bendang ini ialah ancaman serangga perosak seperti siput gondang, masalah saliran air dan pastinya kos operasi yang tinggi.
"Memang (bantuan) bencana memang pernah ada tetapi tak dapat bantuan tu. Mungkin sebab saya tidak masuk direct pertanian ke apa. Kalau sewa bendang orang tu kos tinggi," ujarnya.
"Modal nak usahakan sawah ini sangat besar. Kadang-kadang orang tak boleh nak usahakan sebab tidak cukup duit. Sudah tiga kali saya buat bendang tak menjadi, tetapi hasil usaha keras dan tidak putus asa, akhirnya berjalan baik," katanya.
Justeru, kepada wakil rakyat pula, anak muda ini juga mahu mereka dengar, duduk bersama dan ambil tahu suara hati mereka.
"Kalau ada masa datanglah turun padang, dengar masalah, apa perkembangan petani di sini," ujarnya lagi.
#orang muda #petani #PRU15 #Malaysia Memilih
;