PRU15: Ancaman di Teluk Cempedak, konflik kera dan manusia?
Fareez Azman
Oktober 27, 2022 10:30 MYT
Oktober 27, 2022 10:30 MYT
ANCAMAN monyet di Teluk Cempedak, Kuantan antara lokasi pelancongan terkenal di negeri itu bukan satu isu baharu.
Malah ada pengunjung atau pelancong yang pernah dicederakan, gara-gara monyet mahu merampas makanan dari tangan mereka.
Ini tragedi yang pernah berlaku di kawasan ini.
29 Oktober 2019, seorang lelaki cedera di tangan selepas digigit seekor monyet di Teluk Cempedak.
8 November 2021, seorang bayi cedera selepas terjatuh ketika keluarganya dikejar sekumpulan monyet di kawasan peranginan itu.
Dari percutian, bertukar igauan ngeri buat mangsa serangan monyet di kawasan tumpuan pelancong itu.
ISU MONYET/KERA/BERUK BUKAN ISU BAHARU
Persoalan yang timbul, mengapa monyet di kawasan ini begitu agresif?
Atau sebenarnya disebabkan habitat spesies ini terganggu kehendak manusia yang mahukan pembangunan semata-mata?
Astro AWANI cuba menyelami isu yang tidak berpenghujung ini, meskipun tangkapan oleh Jabatan Perhilitan telah dilakukan.
Namun masih banyak monyet liar berkeliaran di sekitar kawasan ini.
Tinjauan penulis mendapati, tong-tong sampah menjadi lokasi utama monyet mendapatkan sisa makanan.
Tidak kurang juga, ada monyet yang bertindak merampas makanan dari tangan pengunjung.
SEJARAH KERA
Kera atau nama saintifiknya Macaca fascicularis merupakan daripada Order Primat yang dikenali juga sebagai kera berekor panjang.
Bergerak secara berkumpulan diketuai oleh kera Alfa jantan.
Sejak tahun 1974, 10,000 ekor kera dieksport dalam tempoh setahun ke luar negara bagi tujuan bahan penyelidikan, selain itu ada juga menjadi sumber makanan di sesetengah negara.
Mengikut data daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pada tahun 1985 syor telah dibuat oleh Unit Primat, Jabatan Perhilitan supaya larangan menangkap kera atau beruk untuk dieksport demi menjaga kepentingan populasi spesies itu yang terancam.
Bagaimanapun, akibat pengharaman tersebut kera telah membiak dengan banyaknya sehingga menyebabkan kesan sampingan dirasai sekitar akhir tahun 1990 an sehingga kini.
Ia membawa kepada corak gangguan yang dicetuskan oleh haiwan itu di beberapa negeri maju dengan kepadatan penduduk yang tinggi.
APA LANGKAH SETERUSNYA DI TELUK CEMPEDAK?
Berbalik kepada lokasi di Teluk Cempedak, populasi kera terus mengusarkan peniaga dan pengunjung setempat.
Difahamkan, tindakan menangkap oleh Jabatan Perhilitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dilaksanakan sebelum ini.
Namun, masalah ini masih berlarutan sehingga mengundang rasa kurang selesa sesiapa yang datang ke sini.
Konflik diantara kera dan manusia ini, disumbangkan oleh beberapa faktor utama.
Memetik kajian Jabatan Perhilitan, salah satu faktor apabila kehilangan habitat menyebabkan hidup liar berkeliaran dan mencari makan di kawasan tidak sepatutnya termasuk penempatan manusia.
Ia menimbulkan konfik sehingga menyebabkan kecederaan kepada manusai, kemusnahan tanaman, kematian ternakan dan kemusnahan harta benda.
Selain manusia, kera liar juga berdepan risiko untuk dibunuh secara haram atau sah di sini undang-undang.
Ia mengakibatkan persepsi masyarakat terhadap spesies liar ini menjurus kepada tanggapan sebagai haiwan perosak.
Namun, adakah dengan cara menghalau dan membunuh mampu menyelesaikan masalah ini, atau pihak terbabit perlu mewujudkan habitat haiwan liar ini sebagai jalan penyelesaian?
ADA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN
Bagi pengunjung, Johari Abdullah, 43, dari Cherating ini, isu kera bukan disebabkan haiwan liar berkenaan.
Namun baginya, disebabkan tangan-tangan manusia sehingga haiwan liar itu memasuki kawasan orang ramai.
"Monyet takda masalah bagi kita, bukan kita kacau dia, memang anak-anak pun takut.Tetapi monyet pun pun makhluk tuhan sama macam kita juga tiada beza pun.
"Kita tak kacau dia, dia pun tak kacau kita. Cuma sekarang ni, tengok macam bukit-bukit banyak kita kacau tempat dia, bukan dia kacau tempat kita jadi dia keluar semua habis lah," katanya.
Bagi Shafiee Mohamed Nor, 44, tindakan agresif monyet merampas makanan itu seharusnya diambil iktibar setiap pengunjung di sini.
Meskipun terdapat papan tanda memberi amaran, namun masih ramai tidak endah.
"Buat masa sekarang ni monyet ni ada satu tempat kat sini, bukan semua tempat kan.
"Monyet ini sensitif kepada telefon dan makanan (di tangan pengunjung), memang dia pergi ambik lah.
"Biasa kalau ada makanan dia ambik, kalau tak bagi dia akan serang. Kalau lalu tadi pun takda makanan dan telefon di tangan, okay je dia tak kacau," katanya.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, ada juga pengunjung yang memberi makan kepada monyet liar ini.
Tidak kurang yang bergambar bersama haiwan ini, dan dilihat tingkah lakunya menyenangkan serta jinak.
"Buat masa sekarang, kalau saya memang masalah besar sebab saya memang malu sikit dengan monyet.
"Tapi saya rasa kalau orang yang tak malu dengan monyet mesti suka. Saya ingat semua orang tahu la tak sepatutnya dia ada kt sini monyet ni lah," kata seorang lagi pengunjung, Azli Abdullah, 45, dari Sungai Buloh, Selangor.
BILANGAN TERLALU BANYAK
Kami bertemu dengan peniaga, ternyata mereka mahukan satu langkah penyelesaian diambil.
Bukan untuk mengusir monyet di kawasan itu, namun populasi haiwan liar itu dikawal.
"Masalah monyet bukan banyak, sikit je, yang mana dia boleh tarik pelancong mari.
"Pelancong datang bagi makan dia boleh ambik gambar, buat kenangan lagi.
"Jika tiada monyet, Teluk Cempedak pun takda apa yang menarik lagi, bagi saya lah," kata Loh Tian Song, 53, peniaga mainan di sini.
Bagaimanapun jelas Loh, bilangan monyet di kawasan itu kadang kala membimbangkan.
"Jika kasi makan, dia (monyet) jinak lah dia jadi kawan, jika tidak rompak itu sahaja.
"Ada kebaikan dan keburukan, bagi saya biar monyet terus ada di sini tapi terlalu banyak sangat.
"Kadang kala dua puak keluar (dari hutan),betul-betul banyak itulah masalah sekarang, jika sikit tiada masalah," katanya lagi.
SUDAH 20 TAHUN BERLARUTAN
Seorang lagi peniaga, Roha Wahid, 50, isu itu jelasnya telah berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Setiap hari, dia terpaksa berkawal di hadapan kedai, bagi mengelakkan makanan dijualnya dibawa lari monyet.
"Memang selalu ambik makanan dekat sini macam roti semua tu.
"Kena, orang sini semua kena. Selesa tak selesa, sebelum ni Perhilitan ada mari dia tangkap, bila diorang buang monyet tu mari semula," katanya.
Tambah Roha, peniaga di kawasan itu sudah lali dengan kejadian serangan monyet, namun masih berharap ia dapat diselesaikan.
"Benda tu tak boleh lari, sana tempat dia, dekat Teruntum pun tempat dia juga.
"Dia ada dua puak, pagi dan petang memang dia mari.
"Berniaga dah 20 tahun lebih, setiap hari macam tu lah menghadap isu yang sama, ok tak ok, kita kena ok jela," katanya lagi.
Pemerhatian mendapati, terdapat kawasan hutan simpan di belakang Teluk Cempedak sehingga ke Hutan Lipur Bukit Pelindung.
Astro AWANI telah menghubungi Jabatan Perhilitan Negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat berhubung isu ini dan menantikan jawapan dari mereka.