PRU15: Ahli politik mungkin mahu, tapi rakyat tidak
Ridauddin Daud
Oktober 2, 2020 16:34 MYT
Oktober 2, 2020 16:34 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli politik barangkali, merasakan adanya keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secepat mungkin namun rakyat pula tidak berpendapat sebegitu.
Ketua Pegawai Eksekutif EBDesk Malaysia, Sasongko Yudho berkata, banyak kajian secara dalam talian termasuk dari Astro AWANI menunjukkan rakyat lebih bimbangkan COVID-19 berbanding situasi politik dalam negara.
“Ahli politik mungkin rasa, ya saya perlukan PRU tapi rakyat tidak mahu.
“Seperti kajian Astro AWANI, masyarakat tidak perlu, tidak mahu PRU kerana COVD-19 masih belum selesai. Di sini kita perlukan kedua-dua pihak ada keseimbangan, masing-masing mengerti satu sama lain.
“Ia perlu agar tercipta satu naratif yang selari antara ahli politik, rakyat dan media. Media juga mempunyai peranan penting dalam membentuk naratif politik di Malaysia,” katanya dalam temu bual secara Skype bersama Astro AWANI pada Jumaat.
Astro AWANI pada Khamis melaporkan, berdasarkan pungutan suara yang dilakukan di laman Twitter pada Rabu, ramai dalam kalangan pembaca berpendapat bahawa mereka tidak bersedia untuk menempuh PRU15 ketika negara sedang memerangi COVID-19.
Rata-rata, 86.2 peratus daripada 6,344 responden menyatakan mereka tidak sedia jika PRU15 dilaksanakan ketika negara berdepan pandemik COVID-19, sementara sementara 13.8 peratus lagi berpendapat sebaliknya.
Dalam pada itu, ramai pembaca juga turut menyatakan bahawa PRU15 tidak wajar disegerakan.
Sebanyak 73 peratus daripada 20,525 responden menyatakan ‘Tidak’, sekiranya PRU15 dilaksanakan dalam tempoh terdekat, manakala 27 peratus lagi menyatakan ia wajar dilakukan.
Selepas negara mencatatkan peningkatan kes COVID-19 dengan mendadak, ramai pihak merasakan tiada keperluan untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat.
Mereka bimbang, sekiranya pilihan raya tetap diadakan dalam masa terdekat, kes akan berterusan mencapai tiga angka saban hari.
#COVID-19
#PRN
#Sabah
#Sabah Memilih
#pilihan raya
#Pilihan Sabah
#PRU
#Astro Awani
#politik
#pilihan raya umum
#rakyat
#pandemik
#koronavirus