PRU15: Adat berparti memang semua mahu bertanding, nanti kita akan berbincang - Bung
Eleanor Michelle Patrick
Mei 19, 2022 20:11 MYT
Mei 19, 2022 20:11 MYT
KOTA KINABALU: Beberapa perbincangan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) akan dibuat membabit kerusi tradisi BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, perkara itu penting bagi memperincikan agihan kerusi sekali gus mengelak pertembungan di satu-satu kawasan Parlimen.
"Nanti kita bincang, sebab memang adat berparti ini hampir semua mahu bertanding, cuma kita akan tengok keadaan dia dan nanti kita akan putuskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Hari Raya BN Sabah di sini, pada Khamis yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran bekas Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman; bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman serta bekas Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Yusof Yaakob.
Mengulas mengenai kehadiran Musa itu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, tidak timbul isu dengan kehadiran bekas Ketua Menteri Sabah tersebut.
"Beliau (Musa) merupakan pemimpin UMNO dan BN, jadi kita jemput beliau. Ia bukan satu masalah. Bukan bermakna siapa yang datang ke majlis ini mereka mahu bertanding (pada PRU15)," katanya lagi.