PRU15: 'Ada udang di sebalik batu' apabila ahli politik enggan isytihar harta - Akhbar Satar
Israr Khalid
November 6, 2022 09:20 MYT
November 6, 2022 09:20 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli politik tidak sepatutnya takut untuk mengisytiharkan harta mereka sekiranya tidak melakukan apa-apa kesalahan, kata Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar.
Ujarnya, keengganan mereka untuk berbuat demikian memberikan tanggapan bahawa ada sesuatu yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan pihak berkuasa dan orang ramai.
Tegas beliau, pengisytiharan harta sebelum bertanding dan lebih baik lagi selepas memegang jawatan adalah satu tindakan yang mencerminkan ketelusan dan integriti seseorang ahli politik.
“Kebanyakan ahli politik kita tak mahu isytihar sebab ‘ada udang di sebalik batu’ sebab kalau sudah menjadi ahli politik selama berpuluh tahun, sukar untuk jelaskan (dari mana datangnya duit banyak yang dimiliki.)
“Saya rasa ini patut dilakukan oleh semua calon, hendaklah menunjukkan kepada masyarakat bahawa tidak salah sekiranya kekayaan itu dimiliki tanpa terlibat dengan rasuah,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Sabtu.
Katanya, ahli politik perlu berani mengakui memiliki wang yang banyak dan kemudian kekayaan itu seharusnya dimanfaatkan untuk membantu mensejahterakan kehidupan rakyat yang memilihnya sebagai perwakilan.