PRU15: 33 gabungan gerakan mahasiswa kemuka 15 tuntutan dimasukkan sebagai manifesto calon, parti

Astro Awani
Oktober 19, 2022 16:28 MYT
Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Aliff Naif Mohd Fizam (tengah) berkata, kesemua 15 tuntutan berkenaan harus dipertimbangkan oleh bakal-bakal calon pilihan raya dan kerajaan yang akan datang.
KUALA LUMPUR: Seramai 33 gabungan gerakan mahasiswa seluruh negara mengemukakan 15 tuntutan kepada parti-parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar dimasukkan dalam manifesto mereka.
Antara tuntutan tersebut termasuk ialah mahasiswa menolak individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah dan politik wang sebagai calon pilihan raya, serta mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal seumur hidup.
Menurut wakilnya yang juga Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Aliff Naif Mohd Fizam, kesemua 15 tuntutan berkenaan harus dipertimbangkan oleh bakal-bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan.
"Manifesto mahasiswa ini kami akan teruskan dengan siri jelajah dari kampus ke kampus untuk kami sampaikan 15 tuntutan kepada semua mahasiswa seluruh negara.
"Kami akan mulakan jelajah secepat mungkin dan lokasi-lokasi akan masuk ke dalam universiti di Lembah Klang dan luar Lembah Klang," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Universiti Malaya (UM), di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Aliff Naif berkata, gabungan tersebut juga mencadangkan agar kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat diperketatkan dan dihadkan kepada lima penggal seumur hidup.
Katanya lagi, penurunan had umur minimum senator Dewan Negara kepada 25 tahun adalah wajar selari dengan penurunan had umur kelayakan mengundi dalam pilihan raya dan menjadi calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
"Selain itu, pendidikan tinggi percuma untuk golongan B40 dan subsidi pendidikan tinggi untuk kumpulan M40. Ini merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan pendidikan percuma untuk semua bermula di institusi pengajian tinggi awam.
"Ini termasuk menghapuskan caj upah pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke arah serta menyemak semula keberkesanan PTPTN," ujarnya.
Dalam pada itu, 33 gabungan gerakan mahasiswa itu mengesyorkan agar mahasiswa diberikan insentif subsidi perbelanjaan; polisi kebolehpasaran graduan yang lebih adil; inisiatif #RumahSewaSiswa; perlindungan untuk pelajar latihan industri; serta inisiatif menangani kemiskinan haid.
Turut dicadangkan adalah kebajikan kepada pekerja ekonomi GIG; perlindungan kepada alam sekitar dan usaha menangani darurat iklim serta dasar inklusif orang kurang upaya (OKU).
"Pada masa yang sama memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Univerisiti (AUKU) dan menggantikan dengan Akta Pendidikan Tinggi (APT).
"Menubuhkan kesatuan mahasiswa nasional dan kesatuan mahasiswa di universiti awam dan swasta dan ia perlu diletakkan setara dengan univerisiti, bukannya di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP)," tambah Aliff Naif.
#PRU15 #parlimen bubar #15 tuntutan gabungan mahasiswa #ismail sabri yaakob
;