PRU14: Suhakam seru ahli politik tidak beri ucapan berunsur perkauman
Faiq Chong
April 12, 2018 11:34 MYT
April 12, 2018 11:34 MYT
Pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memohon semua ahli politik tidak memberi ucapan berunsur perkauman sepanjang musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata, hal ini demi memastikan keamanan dan keharmonian di Malaysia terjamin dalam melaksanakan hak kebebasan bersuara ketika musim PRU14.
"Pihak Suhakam menyedari terdapat peningkatan penyebaran ucapan berunsur kebencian sepanjang menuju PRU14.
"Bimbang akan kecenderungan ini, Suhakam menyeru ahli-ahli politik untuk melaksanakan hak kebebasan bersuara secara bertanggungjawab demi memastikan keamanan dan keharmonian di negara kita terjamin," katanya.
Beliau juga berkata, Suhakam akan memberi perhatian terhadap golongan wanita dan orang kelainan upaya (OKU) dalam penyertaan politik dalam PRU14.
"...Kami sedar tentang kekurangan perwakilan wanita dalam politik.
"Golongan OKU juga mempunyai hak yang sama untuk menyertai proses pilihan raya dan Suhakam menasihatkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya dapat menjamin OKU diberikan peluang sama untuk mengundi sepertimana rakyat yang lain," tambahnya.
Razali juga menyeru semua pihak yang terlibat dan badan kerajaan untuk memastikan persekitaran yang membolehkan penyertaan penuh dalam pilihan raya dan tidak menggunakan alasan pentadbiran bagi menghalang penyertaan mana-mana individu atau parti-parti politik.
Tambahnya, Suhakam juga turut melibatkan diri dalam membuat pemerhatian dan pemantauan proses pilihan raya sepanjang musim PRU14.