PRU14: Kongres guru mohon cuti ganti

Sinar Harian
April 12, 2018 22:48 MYT
Mohd Sabri berkata sebahagian guru yang dilantik sebagai pegawai pilihan raya perlu bertugas lebih awal untuk meninjau dan mengemas bilik darjah serta dewan yang digunakan sebagai pusat mengundi. -Foto Sinar Harian
Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (Kongres) memohon Kementerian Pendidikan membenarkan warga sekolah yang terlibat di hari pengundian pada PRU14 dibenarkan mengambil cuti berganti sehari selepas hari mengundi iaitu Khamis, 10 Mei depan.
Presidennya, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad berkata, sebahagian guru yang dilantik sebagai pegawai pilihan raya perlu bertugas lebih awal untuk meninjau dan mengemas bilik darjah serta dewan yang digunakan sebagai pusat mengundi.
Menurutnya, terdapat juga guru yang akan bertugas di pusat penjumlahan undi sehingga lewat malam pada hari tersebut.
“Terdapat kira-kira 6,000 sekolah terlibat sebagai pusat pembuangan undi di seluruh negara dan pastinya akan digunakan sepenuhnya membabitkan seluruh warga sekolah.
“Pihak sekolah memerlukan pengambilan cuti berganti bukan sahaja melibatkan hari kejadian malah sehari selepas pembuangan undi, 10 Mei depan (Khamis) terutama bagi sekolah yang melibatkan ramai guru sebagai pegawai atau petugas pilihan raya.
“Banyak tugasan yang mereka perlu lakukan termasuklah memastikan bilik-bilik dan dewan terlibat dikemas semula sebelum kelas bermula pada keesokan harinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Dala pada itu, kata Mohd Sabri yang juga Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), guru dan kakitangan sekolah juga memerlukan rehat secukupnya selepas bertugas sepanjang hari mengundi.
“Justeru, cuti berganti dapat membantu guru cergas kembali sebelum memulakan semula sesi persekolahan selepas itu.
“Sekiranya cuti berganti tidak diberi, pihak pengurusan sekolah akan menghadapi masalah sama ada ketiadaan guru dan bilik darjah yang digunakan tidak dapat diperkemas semua sekali gus menjejaskan pembelajaran.
“Dengan pelepasan cuti berganti daripada Menteri Pendidikan dapat melancarkan perjalanan sesi persekolahan dan keselesaan guru termasuk sekolah berasrama,” katanya.
#guru #Kementerian Pendidikan #kongres #Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia #MalaysiaMemilih #Mohd Sabri Mohd Arshad #pendidikan #pilihan raya #PRU14
;