PRU14: Kekalkan kerajaan BN untuk teruskan agenda perumahan - PM Najib
Bernama
April 22, 2018 05:17 MYT
April 22, 2018 05:17 MYT
Rakyat perlu mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada bagi memastikan agenda perumahan yang menjadi keutamaan kerajaan dapat diteruskan untuk jangka panjang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata disebab itu, agenda perumahan menjadi keutamaan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) termasuk memperbanyakkan lagi projek perumahan rakyat (PPR) bagi membolehkan setiap rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri.
"Kita mesti membuat perancangan yang menjangkau tempoh masa bukanlah satu, dua tahun sahaja. Kita mesti ada perancangan jangka panjang sebab kalau kita nak mengangkat, menjulang negara antara negara terunggul di dunia, BN mampu mencapai matlamat itu... sebab petanda-petandanya sudah ada, perancangannya sudahpun dibuat, pelaksanaannya tengah dilakukan.
"Garis penamatnya, insya-Allah kesampaian dengan syarat BN jadi pilihan. Sebab itulah bila kita kata dalam manifesto, hari ini kita bina rumah untuk semua, anak cucu mewarisi harta yang cukup besar nilainya," katanya berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian PPR Suka Menanti, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohammad Mentek.