PRU14: Hamzah gembira dengan tahap komitmen pengundi yang tinggi
Nazialita Geynna Maharan
Mei 9, 2018 11:43 MYT
Mei 9, 2018 11:43 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainuddin selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi sekitar pukul 8.45 pagi ini di SK Sungai Bayor, Rantau Panjang, Selama, dekat sini.
Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut tiba di pusat pengundian tersebut bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama, Datuk Faizul Arby Mohd Shohor, merangkap Ketua UMNO Bahagian Larut.
Hamzah, penyandang kerusi Parlimen Larut sejak mengalahkan calon Pas, Mohd Dhari Othman pada 2008, akan cuba mempertahankannya buat penggal ketiga pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.
Ketika ditemui, Hamzah menyifatkan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat di sekitar pusat pengundian seluruh Larut menunjukkan tahap komitmen mereka yang tinggi terhadap amanah membuang undi dalam PRU14.
"Selepas satu jam meninjau keadaan di pusat-pusat mengundi sekitar Larut, saya dapati ramai penduduk sanggup keluar dan berbaris seawal jam 7 pagi. Ini menunjukkan semangat mereka dalam menentukan masa depan Malaysia.
"Ini membuktikan proses demokrasi di negara kita berjalan dengan baik, dan mereka telah mengetahui selok-belok proses pengundian itu, hasil inisiatif semua agensi, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain pihak terlibat," katanya kepada pemberita.
Menurut Hamzah, ketibaan awal kesemua pengundi itu diharap akan menjadi satu petanda yang baik buat dirinya serta Faizul satu kemenangan yang lebih besar berbanding PRU13.
#Barisan Nasional
#calon
#DUN Selama
#Hamzah Zainuddin
#komitmen
#Larut
#MalaysiaMemilih
#Parlimen
#Parlimen Larut
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU14
#Suruhanjaya Pilihan Raya