PRU14: Berkempenlah secara berhemah - Mah Siew Keong

Nazialita Geynna Maharan
April 28, 2018 19:16 MYT
Siew Keong nasihat calon agar tidak memanipulasikan keadaan untuk berkempen. - BERNAMA/Fail
Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong mahu semua pihak menjaga tertib sepanjang tempoh berkempen dengan tidak melanggar undang-undang untuk kepentingan sendiri.
Menurutnya, dengan selesainya proses penamaan calon, kini bermulanya waktu calon-calon turun padang berkempen memenangi hati pengundi.
Katanya, tidak wajar bagi calon menggunakan tempoh berkempen ini dengan memanipulasi fakta, sebaliknya perlu memastikan kempen dilaksanakan secara berhemah.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan itu, peringatan itu seharusnya didokong bukan sahaja calon-calon di Teluk Intan malah di semua kawasan seluruh negara.
"Semua yang sudah disenaraikan sebagai calon berhak berkempen. Apa yang penting ialah apa yang kita perjuangkan untuk rakyat Teluk Intan.
"Saya pasti dalam masa seminggu dua ini, banyak berita palsu yang akan keluar. Ini sesuatu yang tidak sihat dan saya harap semua pihak yang bertanding jangan terbabit dalam penyebaran berita palsu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.
Siew Keong menang kerusi tersebut pada satu pilihan raya kecil pada 2013 dengan majoriti sebanyak 2,013 undi selepas mengalahkan bekas setiausaha politik Lim Kit Siang, Dyana Sofea dari DAP.
Beliau juga meminta kerjasama semua pihak agar mengutamakan kebajikan perayaan Chitra Pournami yang bakal dihadiri oleh lebih daripada 40,000 warga Teluk Intan pada Sabtu malam.
Katanya, festival itu merupakan budaya yang telah berterusan selama lebih 30 tahun, justeru memanipulasikan perayaan tersebut bagi tujuan menimbulkan kemarahan orang ramai untuk berkempen di musim pilihan raya ini adalah tidak rasional sama sekali.
Siew Keong berkata beliau juga akan melancarkan Manifesto Khas Teluk Intan dalam masa terdekat.
#berita palsu #calon #GERAKAN #mah siew keong #MalaysiaMemilih #Manifesto #MCA #Parlimen #PRU14 #Teluk Intan
;