PRU14: 26 'lokasi panas' dikenal pasti polis Pahang
Nuradilla Noorazam
Mei 8, 2018 20:16 MYT
Mei 8, 2018 20:16 MYT
Polis Pahang telah mengenal pasti 26 lokasi panas atau flashpoints yang berpotensi menjadi lokasi insiden-insiden tidak diingini, termasuk kekecohan dan pergaduhan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, berkata 14 lokasi panas tersebut melibatkan kawasan sensitif perkauman dan keagamaan, manakala selebihnya adalah kawasan saingan sengit politik.
"Sejak hari penamaan lagi kami telah memerhatikan kawasan-kawasan ini dan anggota-anggota kami sentiasa berada di kawasan tersebut untuk membuat pengawasan," katanya.
Namun Rosli berkata, pihaknya tidak boleh berkongsi lokasi-lokasi tersebut atas faktor menjaga keharmonian serta sensitiviti masyarakat setempat.
Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang ingin mencetuskan insiden tidak diingini sewaktu atau selepas proses pengundian.
Jelasnya, pihak polis telah melakukan risikan dan mengenal pasti individu serta kumpulan yang mempunyai potensi untuk membuat kekacauan apabila keputusan pilihan raya diumumkan.
"Jika ada pihak yang ingin membuat kekecohan dan provokasi, saya beri amaran agar jangan berbuat demikian. Kami telah mengenal pasti mereka dan kami akan membuat tangkapan jika mereka melanggar undang-undang seperti Seksyen 147 (Kanun Keseksaan) yang memecahkan ketenteraman awam.
"Kami telah memerhatikan mereka sepanjang proses berkempen sehingga hari ini," tegasnya.
Beliau turut menasihati pengundi untuk tidak merasa gusar dalam menjalankan tanggungjawab mereka esok.
LAPORAN DAN SIASATAN POLIS
Sementara itu, sepanjang tempoh berkempen sehingga kini, pihak polis telah menerima 76 laporan polis dengan enam kertas siasatan dibuka dan lima kes masih dalam siasatan.
Antara kertas siasatan yang dibuka melibatkan insiden kekecohan di pusat penamaan calon Bentong di mana sebuah laporan polis dibuat membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya berhubung calon Barisan Nasional (BN) untuk DUN Ketari yang mengemukakan kad pengenalan dengan alamat tidak bermastautin di Bentong.
Kertas siasatan lain yang dibuka termasuk dakwaan khianat di DUN Beserah yang melibatkan enam papan tanda Paktan Harapan (PH) yang menunjukkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohamad Sabu disembur dengan cat hitam.
Bagaimanapun, menurut Rosli, hasil siasatan mendapati perbuatan tersebut dilakukan sendiri oleh ahli PKR kerana poster tersebut melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai gambar pemimpin yang dibenarkan untuk diguna sepanjang kempen.
HARI MENGUNDI
Untuk esok, seramai 6,500 anggota dan pegawai akan ditugaskan di sekitar 14 lokasi pusat mengundi yang melibatkan 522 lokasi membuang undi, 1,662 saluran pengundian, 144 barong SPR dan 518 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Sementara itu, Rosli turut menafikan bahawa kesesakan lalu lintas yang dilaporkan berlaku di Lebuhraya Pantai Timur adalah disebabkan pemeriksaan polis.
Sebaliknya, beliau mendapat laporan bahawa kesesakan disebabkan oleh jumlah kereta yang menggunakan lebuh raya tersebut dan sebuah insiden lori rosak.