PRU13: Umno akan letak calon pilihan rakyat

Wan Syamsul Amly
Januari 17, 2013 17:30 MYT
Umno akan meletakkan calon pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang disebut-sebut bakal diadakan dalam masa tidak sampai 100 hari.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Astro Awani, senarai calon Umno yang akan mewakili Barisan Nasional sudah melalui beberapa proses saringan.
"Kita sudah dapat nama semua calon. Saringan demi saringan sudah dibuat dan (menggunakan) pelbagai kaedah," katanya.
Jelas Tengku Adnan, proses itu masih teruskan dan senarai tersebut belum muktamad.
Ditanya ciri-ciri calon yang disifatkan sebagai pilihan rakyat, Tengku Adnan berkata, selain berwibawa, calon-calon itu secara amnya adalah mereka yang menang pada pilihan raya umum yang lalu.
Umno juga, katanya, tidak mahu mengulangi kesilapan memilih calon yang salah seperti pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
Tengku Adnan juga melahirkan keyakinan Umno akan menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya kali ini dengan syarat tiada masalah dalaman parti.
Pada PRU ke-12, Umno menang 78 daripada 114 kerusi yang ia ditandingi.
Dalam pada itu, Tengku Adnan menyindir Pakatan Rakyat yang beliau sifatkan tidak bersatu.
"Pembangkang meniru (Barisan Nasional) kerana mereka hendak membuat satu gabungan tetapi sehingga hari ini ia tidak tercapai," katanya.
Sementara itu, Pakatan Rakyat juga mengaku berhati-hati memilih calonnya untuk PRU ke-13.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali memaklumkan Pakatan Rakyat telah berunding menentukan calon yang sesuai sejak setahun yang lalu.
"Kalau di peringkat Parlimen, kita sudah selesai 90 peratus dalam mengenal pasti mereka yang akan ditonjolkan (dalam) PRU ke-13.
"Kita sedang mengemas kini dan mengenal pasti, mengesahkan calon untuk mewakili (Pakatan Rakyat) di peringkat Dewan Unddangan Negeri,'' katanya.
Jelas Azmin, PKR tidak mahu tersilap lagi memilih calon yang menang dan kemudiannya mengkhinati rakyat.
Dua wakil rakyat PKR di Perak keluar parti tidak sampai setahun selepas PRU ke-12 menyebabkan BN mengambil alih kerajaan negeri.
#Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor #Pilihan Raya Umum 13 #UMNO
;