PRU Singapura: Cabaran utama PAP kekalkan undi popular
Madiha Abdullah
Jun 24, 2020 20:30 MYT
Jun 24, 2020 20:30 MYT
Biarpun pengaruh Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura masih kukuh, parti itu masih perlu mengatasi cabaran untuk mengekalkan undi popular, menjelang pilihan raya republik itu bulan depan.
Penganalisis Politik, Dr.Hamidin Abdul Hamid berpendapat, undi popular PAP yang semakin menurun menjadi satu persoalan besar dalam membuat jangkaan dominasi mereka.
"Undi popular mereka menurun sebanyak 62 peratus jadi mereka akan ada masalah mengekalkan undi majoriti.
"Jika mereka berjaya kekalkan undi majoriti, bermakna mereka berjaya memenangi kepercayaan rakyat terutamanya golongan muda.
"Saya berpendapat dominasi PAP akan kekal tetapi apa yang kita mahu lihat ialah bagaimana dominasi ini disokong oleh peningkatan undi popular itu," katanya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI, pada Rabu.
Hamidin juga melihat kerajaan PAP pimpinan Lee Hsien Loong sudah melakukan persiapan yang teliti untuk menyerahkan 'baton' kepada pemimpin baharu, namun apa yang menarik untuk disaksikan adalah bila perubahan sebenar akan dilakukan.
"Jika kita lihat daripada konteks tradisi kepimpinan di Singapura, Heng Swee Keat telah pun dinobatkan sebagai bakal perdana menteri.
"Sudah jelas siapa yang akan menggantikan Lee Hsien Loong sebagai perdana menteri. Persoalannya ialah bilakah beliau akan turun, adakah pengumuman itu akan dilakukan semasa kempen pilihan raya atau sebelumnya," tambah beliau.
Kerajaan Singapura pada Selasa mengumumkan pembubaran Parlimen sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya umum diadakan di republik itu.
Hari Penamaan calon akan diadakan pada 30 Jun 2020, manakala hari pengundian pula akan diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya.