Prototaip projek kereta nasional siap namun.... - Tun Mahathir
Rahimah Abdullah
Februari 21, 2020 14:13 MYT
Februari 21, 2020 14:13 MYT
Prototaip bagi projek kereta nasional ketiga sudah berjaya disiapkan, ujar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun jelasnya, prototaip berkenaan tidak akan dipamerkan kepada umum.
"Kita telah ada prototaip berkenaan namun bukan untuk dipamerkan kepada orang ramai. Bagaimanapun, kami sedang melakukan kerja-kerja pemantauan bagi memastikan kereta kita sensitif kepada persekitaran dan mempunyai tindak balas yang mampu membantu pemandu untuk tidak membuat kesilapan.
"Sekarang kerajaan tidak akan membuat pelaburan tetapi kami meminta sektor swasta untuk melabur dan mengeluarkan kereta yang bukan hanya untuk (pasaran) Malaysia," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini pada Jumaat.
Tambahnya, ketika ini kerajaan masih menunggu pihak pelabur yang sedia untuk membuat pelaburan terhadap projek kereta nasional.
"Kami sedang menunggu mereka yang mahu melabur kerana ketika ini kerajaan tidak akan melabur dalam kenderaan bermotor dan kami bersedia dengan teknologi baharu yang akan menjadikan kereta nasional yang baharu mampu bersaing dalam pasaran global," ujarnya lagi.
Katanya lagi, pelaburan yang rancak dalam projek berkenaan akan dapat memastikan penggunaan teknologi baharu dan sekali gus menarik permintaan pasaran domestik dan global.
"Kita perlu tahu apa yang orang ramai mahu. Kita juga perlu tahu mengenai teknologi baharu dan kita perlu tahu menggabungkan antara permintaan dan kemampuan.
"Kita sudah sudah berada di hadapan dalam teknologi baharu. Kita ada kemampuan namun kita perlu mencapai tahapnya melalui pelaburan dilakukan," kata Perdana Menteri.
Tahun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking mengumumkan DreamEDGE Sdn Bhd sebagai syarikat utama Malaysia untuk pembangunan kereta nasional ketiga.
#Dasar Automotif Negara 2020
#kerajaan
#kereta
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#menteri
#MITI
#NAP
#NAP 2020
#pelaburan
#Perdana Menteri