Proton tawar kad minyak percuma kepada pembeli kereta e-hailing
Bernama
Mei 9, 2020 07:15 MYT
Mei 9, 2020 07:15 MYT
Proton Holdings Bhd menawarkan kad hadiah minyak Petronas bernilai RM500 kepada pembeli kereta e-panggilan (e-hailing) sebagai langkah untuk mempromosikan penggunaan kereta syarikat itu dalam industri berkenaan.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Proton berkata pelanggan yang membeli Proton Persona, Iriz, Exora, Saga atau Proton X70 baharu dari pusat jualan Proton akan ditawarkan dengan kad hadiah itu atau boleh memilih untuk mendapatkan potongan harga dengan nilai yang sama.
"Untuk mendapatkan tawaran ini, pelanggan perlu mengemukakan salinan lesen e-panggilan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang sah sebagai bukti dan mendaftarkan kenderaan tersebut di atas nama mereka sendiri.
"Selain kad hadiah tersebut, potongan harga tambahan turut ditawarkan bagi model terpilih di antara RM300 hingga RM1,500," katanya.
Menurut Proton, promosi ini akan berlangsung sehingga 31 Disember, 2020 dan turut terbuka untuk individu yang ingin membeli kereta bagi tujuan sama iaitu e-panggilan oleh pemandu yang berbeza.
Pengeluar kereta nasional itu berkata, untuk tujuan itu, Surat Persetujuan yang menyatakan tujuan pembelian, nama penuh, nombor kad pengenalan dan salinan lesen e-panggilan pemandu adalah diperlukan.
"Program ini bertujuan memudahkan mereka yang baharu dalam industri ini untuk membuat keputusan membeli kereta serta bagi pemandu sedia ada yang ingin menggantikan kereta," katanya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi pusat jualan Proton Edar yang terdekat atau e-mel kepada corporatesales@proton.com.
-- BERNAMA
#beli kereta
#e-hailing
#e-panggilan
#kad hadiah
#Kenderaan Pengangkutan Awam
#lesen
#pemandu
#Petronas
#potongan harga
#promosi
#Proton
#PSV
#surat persetujuan