Proton rekod jualan 12,882 unit Jan 2024, permulaan terbaik tahun baharu

Dagang News
Februari 5, 2024 12:54 MYT
Menurut Proton, jumlah jualan yang dicatatkan itu merupakan peningkatan sebanyak 10.3% berbanding bulan Januari tahun lalu. - Foto Proton
KUALA LUMPUR: Proton menjadi satu-satunya jenama automotif yang mencatat prestasi jualan lebih baik pada Januari 2024 berbanding bulan sebelumnya dengan peningkatan jualan sebanyak 1.3%.
Jumlah jualan sebanyak 12,882 unit (domestik dan eksport) pada Januari 2024 juga merupakan permulaan tahun terbaik bagi pengeluar kereta nasional itu sejak 2013.
Menurut Proton, jumlah jualan yang dicatatkan itu merupakan peningkatan sebanyak 10.3% berbanding bulan Januari tahun lalu.
"Pegangan pasaran syarikat bagi bulan Januari dianggarkan sebanyak 19.5%, iaitu 3.3% lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.
"Jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) (Januari 2024) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6% berbanding Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan tahun 2023," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Proton, hasil daripada permulaan tahun yang kukuh, Proton mengekalkan tempat kedua dalam kedudukan jadual jualan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, sambutan yang menggalakkan mengesahkan bagaimana model Proton menjadi perhatian pembeli yang mencari kenderaan inovatif.
Kata beliau, pasukan kerja Proton juga terus berusaha gigih untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya untuk memenuhi peningkatan permintaan.
"Proton teruja memulakan tahun 2024 dengan kukuh diserlahkan lagi oleh penghantaran yang kukuh untuk model terbaru kami, Proton S70," katanya.
Menurut Roslan, ramai yang menjangkakan jualan automotif Malaysia akan turun pada tahun 2024 selepas mencatat rekod pada tahun 2023.
Kata beliau, ini disebabkan faktor seperti kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pengenalan cukai barangan mewah.
"Walau bagaimanapun, Proton kekal optimistik dengan permulaan yang kukuh untuk tahun ini yang mampu memberikan momentum kepada 11 bulan yang akan datang.
"Malah kami menyasarkan lebih banyak pertumbuhan jualan dengan fokus berterusan pada inovasi, kualiti dan khidmat pelanggan," jelasnya.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini menjangkakan jualan kereta baharu di Malaysia menyusut 7.5% pada 2024, selepas mencatat jualan 799,731 unit pada 2023.
Dalam pada itu, Proton memaklumkan, penghantaran model Proton S70 telah bermula dengan 1,442 unit dihantar pada bulan Januari dan model itu juga memasuki pasaran eksport pertamanya di Brunei apabila 15 unit telah dihantar sebelum pelancaran rasminya di sana pada bulan ini.
Sementara itu, SUV paling popular di Malaysia, Proton X50 menyaksikan 2,002 unit dijual pada bulan Januari dan kekal menguasai SUV segmen B manakala Proton Persona mendahului jualan bagi sedan segmen B dengan 1,846 unit.
Model teratas Proton, iaitu Proton X90 turut mencatatkan prestasi yang baik apabila ia kekal sebagai peneraju dalam pasaran SUV segmen D, dengan jumlah 365 unit dijual pada bulan Januari.
"Ini dipadankan oleh Proton Exora yang walaupun pengeluarannya telah tamat, MPV segmen C itu kekal relevan dengan 203 unit dijual.
"Selepas menamatkan tahun 2023 dengan jualan mengagumkan sebanyak 70,184, Proton Saga memulai tahun 2024 dengan kukuh dengan 6,129 unit dijual, yang mengesahkan populariti dan kepentingannya yang berkekalan dalam portfolio Proton.
"Permulaan tahun yang teguh mengukuhkan kedudukan Saga sebagai asas dalam legasi Proton dan menyerlahkan pengaruhnya dalam industri automotif Malaysia.
"Bagi model Proton yang lain, jualan untuk Proton Iriz melonjak sebanyak 7% berbanding bulan Disember dengan 523 unit dijual manakala 372 Proton X70 telah dijual bulan lepas," kata Proton.- DagangNews.com
#Proton #jualan kenderaan #pasaran #automotif
;