Proton panggil balik model Proton Perdana generasi semasa
Bernama
Januari 17, 2019 18:30 MYT
Januari 17, 2019 18:30 MYT
Proton Holdings Bhd hari ini memanggil balik semua model Proton Perdana generasi semasa, yang melibatkan 6,432 kenderaan.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata langkah memanggil balik itu adalah untuk menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang, sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan model Proton Perdana adalah berasaskan Honda Accord, dan kereta yang terlibat dibina dari 2012 hingga akhir Ogos 2018.
Honda Motor Company baru-baru ini mengumumkan panggilan balik Honda Accord untuk menggantikan inflator beg udara penumpang.
Dalam kenyataan hari ini, pembuat kereta itu berkata notis mengenainya akan dihantar kepada pemilik yang terlibat.
"Semua pemilik Proton Perdana akan dimaklumkan dan dinasihatkan untuk menghubungi pusat servis kami untuk membuat janji temu bagi menggantikan inflator beg udara kereta masing-masing.
"Kereta yang dibina selepas 31 Ogos, 2018, tidak terjejas, penggantian inflator akan mengambil masa kira-kira sejam, tanpa bayaran," kata ketua pegawai eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed.
Pelanggan dinasihatkan menghubungi Talian Khidmat Perhubungan Pelanggan di 1-800-888-398 atau e-mel kepada customercare@proton.com untuk pertanyaan dan bantuan.
Khidmat penggantian itu merupakan sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta yang menggunakan beg udara Takata.
Semua tindakan adalah mengikut Laporan Maklumat Kerosakan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Lebuh Raya Nasional Amerika yang menetapkan infaltor beg udara penumpang itu diganti.
-- BERNAMA