Proton diyakini kekal jadi kereta nasional negara - Syed Faisal

Wan Syamsul Amly
Julai 10, 2018 14:51 MYT
SYED FAISAL: Kita percaya keyakinan sudah lama diberi oleh pihak bank, vendor dan peniaga untuk memastikan proton kekal sebagai kereta nasional. -Foto BERNAMA
Proton diyakini tidak akan tenggelam atau lenyap dalam industri automotif, sebaliknya terus kekal menjadi kereta nasional negara.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata ia dapat dilihat berdasarkan penerimaan positif perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memandu uji kenderaan jenis SUV keluaran terbaharu Proton itu baru-baru ini.
"Kita percaya keyakinan sudah lama diberi oleh pihak bank, vendor dan peniaga untuk memastikan Proton kekal sebagai kereta nasional.
"Kita juga akan memikirkan Proton dahulu dalam setiap langkah yang dibuat," katanya selepas sesi taklimat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham, hari ini.
BACA: Tun M bakal lancar projek kereta nasional lagi?
BACA: Automotif ASEAN: Kerajaan kenal pasti syarikat Indonesia jalin kerjasama Proton
Ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke-24 di Tokyo, Jepun, Jun lepas, Dr Mahathir memberi bayangan bakal memulakan sebuah lagi projek kereta nasional.
Jelasnya, projek berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa negara di rantau ini.
Selain Syed Faisal, antara yang turut memberi taklimat adalah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, Presiden Persatuan Vendor Proton (PVA) Azalan Omar, dan Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Datuk Zainuddin Abdul Rahman.
Baru-baru ini, Dr Mahathir memberitahu kerajaan telah mengenal pasti syarikat dari Indonesia yang akan bekerjasama dengan Proton dalam merealisasikan kereta buatan Malaysia-Indonesia.
Bagaimanapun Dr Mahathir tidak mengumumkan nama syarikat tersebut memandangkan projek kereta untuk pasaran ASEAN itu tidak melibatkan kerajaan Malaysia secara langsung.
Pada 2015, satu perjanjian persefahaman ditandatangani antara Proton dengan PT Adi­perkasa Lestari bagi mereali­sasikan cita-cita Indonesia untuk memiliki kereta nasional sendiri.
Jualan kereta Proton meningkat 50 peratus pada Jun apabila sebanyak 6,173 unit dijual berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan memberangsangkan itu didorong oleh pembeli yang mengambil kesempatan berikutan tawaran sifar Cukai Barangan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta promosi Duit Raya Proton.
Proton merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983.
Penubuhannya merupakan gagasan Perdana Menteri pada masa itu, Dr Mahathir untuk mencapai aspirasi negara perindustrian.
#ASEAN #Azalan Omar #GST #Li Chunrong #Mahathir Mohamad #Proton #Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar #Zainuddin Abdul Rahman
;