Protokol data peribadi: Malaysia perlu bekerjasama dengan negara Asia Tenggara - Fahmi
Hasimi Muhamad
Jun 18, 2023 19:51 MYT
Jun 18, 2023 19:51 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bekerjasama dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara, khususnya Singapura dan Thailand, bagi mengemukakan satu protokol berhubung data peribadi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia bagi membolehkan data yang dihasilkan di sesebuah negara dapat digunakan di negara lain terutamanya di Asia Tenggara.
"Ini penting kerana Malaysia menjadi tumpuan bagi pusat pemprosesan data.
"Tetapi kebanyakan aktiviti yang berlaku dalam pusat-pusat pemprosesan data ataupun pengkomputeran awan memerlukan data set yang besar dan sepertinya melibatkan data yang mungkin dihasilkan atau dijana dan diterbitkan oleh negara yang berbeza," katanya, di sini, pada Ahad.
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Siber, Ekonomi Digital dan Keterhubungan di Perumahan Pantai Permai.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beberapa perkara lain yang perlu dilakukan segera termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber.
Ujarnya, RUU Keselamatan Siber ketika ini di peringkat pertengahan dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara apabila siap kelak.
"Ia dijangka dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini.
"Selain itu, pada masa yang sama ada keperluan untuk meminda Akta Keselamatan Data Peribadi 2010, dan ini saya jangka (dibentang) seawal bulan Disember atau selewat-lewatnya Mac (2024).
"Ini penting kerana kebanyakan daripada insiden 'scammer' berlaku dengan maklumat yang telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya lagi.
#Fahmi Fadzil
#keselamatan siber
#pencerobohan data peribadi
#kerjasama dengan negara rantau Asia Tenggara