Protes tindakan bakar Al-Quran, 1,000 peserta berarak ke kedutaan Sweden
Faida Rahim
Januari 27, 2023 15:30 MYT
Januari 27, 2023 15:30 MYT
KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 peserta berhimpun secara aman dan berarak ke Kedutaan Sweden dari Masjid As-Syakirin KLCC di ibu negara selepas solat Jumaat hari ini sebagai tanda protes terhadap tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar Al-Quran, baru-baru ini.
Laungan takbir dan Allahuakbar bergema di lokasi sepanjang berarak menuju ke hadapan Kedutaan Sweden di Jalan Mayang Sari.
Perhimpunan itu turut disertai beberapa pemimpin Pas, Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain.
Antaranya Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan penyanyi rap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.
Terdahulu, Paludan diberikan kebenaran membakar Al-Quran pada 21 Januari lalu di luar kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.
Pembakaran kitab suci itu mengundang kecaman banyak pihak, termasuk Amerika Syarikat yang menarik perhatian bahawa pembakaran itu berlaku ketika Sweden memerlukan persetujuan Turki untuk menyertai NATO.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia oleh Paludan itu dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap pelaku serta memastikan langkah drastik diambil dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.