Protes #LAWAN berlangsung aman
Eton Khir
Julai 31, 2021 12:27 MYT
Julai 31, 2021 12:27 MYT
KUALA LUMPUR: Sekitar 400 anak muda berkumpul di Dataran Merdeka di ibu kota hari ini sebagai manifestasi ketidakpuasan hati bagi mendesak perubahan dalam pentadbiran negara.
Protes dengan hashtag #LAWAN berlangsung aman, bersama kawalan pihak berkuasa agar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dipatuhi para peserta.
Peserta diminta mematuhi SOP COVID-19 termasuk mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka.
Penunjuk perasaan berpakaian serba hitam mulai berkumpul di kawasan sekitar Dataran Merdeka, termasuk berhampiran Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Terdahulu, polis telah menutup beberapa laluan masuk ke Dataran Merdeka menjelang tunjuk perasaan hari ini.
Antaranya Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Hishammuddin dan persimpangan dari Jalan Kinabalu ke Jalan Sultan Hishammuddin
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dilihat hadir memberi sokongan terhadap solidariti anak muda.
Sementara itu, Setiausaha Agong Pemuda, Amir Hadi berharap Kerajaan tidak mengetepikan dan mengambil maklum akan suara anak muda.
Protes bersurai jam 1.04 petang dengan kawalan pihak berkuasa.