Protes kenaikan tol di Plaza Tol Sunway

Hilal Azmi
Oktober 14, 2015 22:14 MYT
Demonstrasi yang dianjurkan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Selangor dihadiri 50 peserta yang membantah kenaikan tol di 18 lebuhraya seluruh negara. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Susulan kadar baharu tol berkuatkuasa esok, satu demonstrasi bantahan dibuat di Plaza Tol Sunway dekat Lebuhraya Damansara-Puchong, hari ini.
Demonstrasi yang dianjurkan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Selangor dihadiri 50 peserta yang membantah kenaikan tol di 18 lebuhraya seluruh negara.
Peserta turut membawa sepanduk bantahan dan juga mengajak pengguna lebuhraya di kawasan sekitar membunyikan hon sebagai tanda protes.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh memberitahu, kenaikan tol amat membebankan terutamanya bagi penduduk Puchong.
"Penduduk Puchong terutamanya amat terasa memandangkan kami dikelilingi lebuhraya.
"Jalan alternatif sedia ada hanya satu iaitu melalui Jalan Klang Lama dan jalan ini tidak relevan dengan kepesatan pembangunan yang ada di Puchong," katanya kepada media.
Bagi pengguna yang ditemui, mereka menyatakan rasa kesal akan kenaikan ini memandangkan kos hidup sedia ada sudah cukup membebankan mereka.
"Saya tinggal di Sungai Buloh, dan saya kerja di Shah Alam. Kos harian saya untuk tol pergi dan balik mencecah RM10 sebelum ini.
"Kenaikan tol akan menyebabkan kos harian saya mencecah RM15 sehari. Itu baru saya, bila dicampur dengan kos tol yang ditanggung isteri, maka kami secara bulanan terpaksa membelanjakan kira-kira RM400 untuk tol sahaja," kata Razak seorang peserta bantahan kenaikan tol.
Sally Sian, seorang pengurus pemasaran pula berpendapat, kenaikan tol menyebabkan kos operasinya juga meningkat.
"Saya sentiasa menggunakan lebuhraya untuk ke lokasi tertentu bagi tujuan kerja.
"Kenaikan tol ini akan menyebabkan kos operasi saya meningkat, dengan GST yang dikenakan sejak April lalu," katanya kepada Astro AWANI.
Mulai 15 Oktober 2015, 18 syarikat konsesi lebuhraya akan mengenakan kadar baharu bagi laluan tol.
Hampir kesemuanya melibatkan laluan di Lembah Kelang, namun laluan KL-Karak dan juga Lingkaran Luar Butterworth di Pulau Pinang turut terlibat.
#DAPSY #LDP #Lebuhraya Damansara-Puchong #protes #Puchong #tol
;