ProtectHealth nafi tetap caj RM50 untuk vaksinasi

Astro Awani
Jun 14, 2021 18:28 MYT
ProtectHealth dalam satu kenyataan berkata, kos tambahan pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dinyatakan PPK sebagai nominal commitment fee ditetapkan PPK sendiri. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menafikan menetapkan bayaran RM50 untuk program vaksinasi seperti didakwa Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) baru-baru ini.
ProtectHealth dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya kos tambahan pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dinyatakan PPK sebagai ‘nominal commitment fee’ ditetapkan PPK sendiri.
Tegasnya, ProtectHealth tidak menetapkan kadar bayaran itu dan ia juga tidak dibayar kepada syarikat berkenaan.
“Para pekerja yang terlibat dalam pelaksanaan vaksinasi akan menerima vaksin yang telah dibeli oleh kerajaan.
“Walau bagaimanapun, pihak majikan perlu mendapat kelulusan kementerian yang terlibat bersama kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan menampung kos penyediaan PPV mengikut spesifikasi teknikal dan prosedur yang ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kos pengoperasian PPV industri dan bayaran kepada pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam program pemberian vaksin di bawah ProtectHealth hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” katanya menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, semua kementerian terlibat akan bertanggungjawab memastikan caj dikenakan adalah pada kadar minimum dan bukan bermaksud mengaut keuntungan.
Bahkan, ia tidak membebankan pihak industri yang terlibat dalam program ini, kata kenyataan itu.
“Pihak majikan tidak dibenarkan mengenakan sebarang caj kepada pekerja mereka. Pihak majikan juga bertanggungjawab penuh kepada pelaksanaan PPV yang baik.
“Selepas kelulusan CITF, ProtectHealth akan menguruskan pengendalian dan suntikan vaksin dengan kos RM15 bagi setiap suntikan dos menerusi penglibatan pengamal perubatan swasta,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, penyertaan sektor atau syarikat juga adalah bersifat pilihan dan bukan mandatori.
“Majikan serta pekerja yang tidak menyertai pemberian vaksinasi kepada sektor ekonomi kritikal ini masih akan menerima vaksin COVID-19 secara percuma di bawah fasa arus perdana apabila tiba giliran mereka,” katanya.
#vaksin #PICK #program vaksinasi #KKM #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #suntikan #Pusat Pemberian Vaksin #PPV #ProtectHealth #Malaysia #ekonomi #yuran #PPK
;