Prosiding panel siasatan dalaman FGV bermula 24 Julai
Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 17, 2017 15:19 MYT
Julai 17, 2017 15:19 MYT
Panel siasatan dalaman Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan memulakan prosidingnya terhadap empat individu penting dalam syarikat tersebut bermula 24 Julai ini.
Pemangku Pengerusi FGV Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, keputusan oleh panel siasatan dalaman itu dijangka diumumkan pada 14 Ogos ini.
Menurutnya, empat individu yang akan dipanggil pada prosiding berkenaan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan CFO dan dua lagi individu.
Katanya, panel siasatan itu akan dianggotai oleh tiga panel bebas yang terdiri daripada individu di dalam FGV.
"Kita akan buat siasatan secara telus dan ia adalah siasatan dalaman yang dianggotai oleh panel yang bebas. Ini bukan konspirasi untuk menjatuhkan sesiapa.
"Tidak ada isu hendak jatuhkan sesiapa, saya takutkan Tuhan. Dan kita akan tentukan bentuk hukumannya selepas selesai segala siasatan itu nanti," katanya kepada pemberita.
Selain itu, beliau turut menafikan adanya campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu membabitkan FGV.
Sulaiman ditemui media ketika hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri FGV di ibu negara.