Prosiding PAC diteruskan meskipun berdepan cabaran memasuki bangunan Parlimen

Nailah Huda
Ogos 2, 2021 11:28 MYT
Antara yang turut hadir prosiding di Bangunan Parlimen termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Sumber foto Twitter Wong Kah Woh
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) tetap berlangsung di Parlimen hari ini meskipun beberapa ahlinya sebelum itu berdepan cabaran ketika cuba melalui laluan ke bangunan tersebut pagi ini.
Susulan itu Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam satu kenyataan menyatakan kekecewaannya kerana beberapa ahli PAC tidak dibenarkan melepasi sekatan jalan raya.
Katanya Ahli-ahli PAC dijadualkan menghadiri prosiding Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia pada jam 10.30 pagi Isnin bagi memanggil KKM.
Namun menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, beberapa ahli PAC tidak dibenarkan melepasi sekatan jalan raya walaupun mempunyai surat rasmi.

Statement from PAC Chairman. pic.twitter.com/cHtBoKo9uj

— wong kah woh (@wongkahwoh) August 2, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selain Kah Woh, antara mereka yang hadir pada prosiding di Bangunan Parlimen itu pagi ini adalah termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Rusli.
Sebelum itu beberapa laluan masuk ke bangunan Parlimen sudah mula ditutup sejak jam 7.30 pagi tadi apabila Ahli Parlimen pembangkang mengatakan akan tetap hadir ke Parlimen walaupun sesi terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat hari ini telah ditangguhkan ke tarikh yang belum dimaklumkan.
“Dalam perjalanan saya ke bangunan Parlimen, saya telah memaklumkan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya berkenaan dengan tugasan saya selaku Pengerusi PAC dan meminta supaya laluan diberikan tetapi tidak dibenarkan.
“Perkara yang sama juga berlaku ke atas beberapa ahli PAC yang turut berhadapan dengan sekatan jalan raya walaupun kami mempunyai surat panggilan mesyuarat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan mengenai mesyuarat Jawatankuasa ini.
“Malah, anggota polis turut berkata untuk menahan saya sekiranya saya tidak beredar dari tempat sekatan jalan raya dalam tempoh dua minit.
“Walaupun pada akhirnya ahli-ahli PAC diberikan laluan setelah campur tangan daripada pengurusan Parlimen, tindakan sebegini adalah ‘uncalled-for’ (tidak seharusnya berlaku) dan merupakan satu ancaman terhadap peranan kami selaku ahli PAC,” katanya.
Menurut Kah Woh lagi, tindakan sedemikian bertentangan dengan usul yang memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga laluan masuk dan keluar untuk ahli-ahli Parlimen hadir ke sebarang mesyuarat di Parlimen yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada setiap pembukaan penggal, serta menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Tegasnya, kehadiran mereka di Bangunan Parlimen bertujuan untuk menghadiri Prosiding PAC dan surat panggilan mesyuarat berkenaan adalah bukti jelas dan nyata kepada anggota PDRM.
Bagaimanapun selepas mereka dibenarkan untuk ke bangunan Parlimen, prosiding yang bermula jam 10.30 pagi itu berlangsung selama hampir tiga jam setengah.
Ini merupakan prosiding keempat selepas prosiding terakhir memanggil Kementerian Kewangan pada 28 Julai lalu.
Menurut Kah Woh, PAC akan berbincang mengenai laporan yang diterima dan akan mengemukakan rumusan serta syor kepada kerajaan mengenai isu tersebut sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya dalam Sidang Parlimen pada Oktober nanti.
#Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #PAC #prosiding #mesyuarat #Parlimen #Noor Hisham Abdullah #Wong Kah Woh #Ipoh Timur #Sekatan Jalan Raya #laluan #COVID-19 #Adham Baba