Prosiding memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah 19 November ini

Bernama
November 14, 2014 07:49 MYT
Prosiding memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah 19 November ini
Badan kehakiman akan menganjurkan prosiding memperingati Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara kelima, pada Rabu (19 Nov) di Mahkamah Persekutuan di sini.
Penolong Kanan Pendaftar Muhamad Safuan Azhar daripada Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, dalam kenyataan hari ini berkata prosiding itu diadakan bagi memperingati sumbangan dan segala jasa serta bakti Almarhum dalam bidang kehakiman dan perundangan.
Muhamad Safuan juga berkata sepanjang karier Almarhum dalam badan kehakiman, beliau banyak menghasilkan penghakiman berkualiti dan digunakan sebagai rujukan kepada hakim-hakim, timbalan pendakwa raya dan peguam sehingga sekarang.
Katanya, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim akan menghadiri prosiding itu selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ke upacara itu Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukry.
Muhamad Safuan berkata prosiding itu akan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dan bekas hakim juga akan menghadiri upacara itu.
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada 28 Mei lepas dan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar.
Pada 1973, Almarhum dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudian, pada 1979 sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, jawatan yang dipegang baginda sehingga dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, hakim paling muda dilantik pada usia 54 tahun, pada 12 Nov 1982.
Bagaimanapun, Almarhum memegang jawatan itu bagi tempoh yang singkat selepas dimahsyurkan sebagai Sultan Perak ke-34 berikutan kemangkatan Sultan Idris Shah pada 3 Feb 1984.
Almarhum merupakan Yang di-Pertuan Agong kesembilan dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Almarhum memulakan karier dalam bidang kehakiman sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa Raya.
Almarhum juga pernah memegang jawatan lain dalam badan kehakiman termasuk penasihat undang-undang negeri Pahang dan kemudian Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Prosiding terakhir yang diadakan oleh badan kehakiman ialah bagi memperingati bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Mohamed Suffian Hashim pada 16 Mac 2001.
Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dari 1974 hingga 1982, dan meninggal dunia pada 26 Sept 2000.
#Sultan Azlan Shah
;