Prosiding kes pembubaran DUN Sabah bermula
Assim Hassan, Ruzaini Zulkepli
Ogos 17, 2020 09:38 MYT
Ogos 17, 2020 09:38 MYT
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memulakan prosiding untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lepas boleh dibicarakan.
Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim akan menentukan perkara tersebut berikutan terdapat permohonan semakan kehakiman mengenai pembubaran DUN Sabah.
Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli DUN membuat permohonan mendapat kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.
Lebih 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang menyokong gabungan Tan Sri Musa Aman hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Isnin.
Kesemua mereka hadir pada 9.10 pagi bagi mendengar permohonan semakan kehakiman berhubung pembuburan DUN Sabah.
Wakil rakyat yang hadir adalah Datuk Masiung Banah (Kuamut), Rahman Kangkawang (Labuk), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Arifin Arif (Membakut), Datuk Saddi Abd Rahman (Sukau), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), Dtk Muis Picho (Sebatik) & Datuk Hamisa Samat (Tg Batu) tiba di mahkamah.
Kesemua pihak sudah berada di kamar mahkamah untuk sesi mahkamah berkenaan dengan peguam mewakili gabungan Tan Sri Musa Aman, Tengku Fuad Tengku Ahmad dan Peguam Besar Negeri Sabah, Brandon Keith Soh.